KUCHING: Pembinaan pusat sukan berprestasi tinggi Sarawak dapat direalisasikan susulan kabinet negeri telah menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhannya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyatakan keyakinannya itu selepas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kabinet negeri menyatakan sokongan penuh kepada cadangan tersebut.
Tegasnya, pembinaan pusat sukan terbabit dilihat penting kerana ia antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk melahirkan jaguh sukan baharu di peringkat antarabangsa.
“Kita melihat New Zealand sebagai model kerana pencapaian cemerlangnya dalam Sukan Olimpik yang berjaya memperoleh 16 pingat emas. Pasti ada rahsia di sebalik kejayaan itu.
“Negara itu hanya mempunyai kira-kira 4 juta penduduk berbanding Malaysia sekitar 30 juta orang. Namun kita belum mendapat pingat emas dalam kejohanan dunia itu, kecuali atlet-atlet para kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau mengakui, untuk seseorang itu berjaya dalam sukan, pusat sukan berprestasi tinggi seperti ini sangat penting.
“Dalam pada itu barisan atlet akan dijaga dalam semua aspek mencakupi pemakanan, latihan dan kesihatan oleh pakar terlatih di pusat berkenaan,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, pembinaan pusat sukan berprestasi tinggi itu masih di peringkat perancangan dan dicadangkan dibina berhampiran Kompleks Sukan, Petra Jaya, di sini.
“Pusat tersebut akan menyediakan kemudahan latihan sama seperti di Kompleks Sukan Nasional, Bukit Jalil.
“Pusat itu akan diurus oleh pakar-pakar sukan dalam memastikan objektif penubuhannya tercapai iaitu melahirkan atlet cemerlang di pentas global,” tambahnya.