Pusat tuisyen, kelas muzik tidak boleh beroperasi

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh mengingatkan mana-mana pusat tuisyen persendirian, kelas muzik mahupun apa-apa yang melibatkan aktiviti pembelajaran berkumpul di satu tempat dilarang diadakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Beliau berkata demikian setelah menerima aduan, terdapat segelintir pengusaha pusat tersebut mahu membuka premis mereka kerana melibatkan kumpulan pembelajaran kurang daripada 20 orang.

“Mereka berpendapat sekiranya tidak melebihi 20 orang, mereka boleh meneruskan operasi seperti biasa. “Di sini saya tegaskan, tak boleh!” katanya kepada media di sini, kelmarin.

Beliau turut memberitahu, tindakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen seolah-olah mendedahkan anak-anak mereka kepada ancaman Covid-19. “Setakat ini, kelas tuisyen masih tidak dibenarkan beroperasi dan belum ada prosedur operasi standard (SOP) untuk kelas tuisyen,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati guru tuisyen atau yang berkenaan supaya membatalkan niat untuk meneruskan operasi walaupun mereka mempunyai pelajar kurang daripada 20 orang.

“Saya ingin menegaskan, jika anda (guru tuisyen)didapati meneruskan operasi oleh pihak berkuasa, anda boleh ditangkap serta didenda, malah dipenjarakan disebabkan melanggar PKPB.

“Justeru, hentikan. Jangan gadaikan nyawa anda dan anak orang lain semata-mata mahu mengaut keuntungan,” tegas Ing Horh lagi.