Pustaka anjur e-pameran sepanjang Ramadan

MIRI: Pustaka Negeri Sarawak (PNS) Miri memperkenalkan pameran elektronik atau e-pameran sepanjang bulan Ramadan berikutan masyarakat terpaksa berada di dalam rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, PNS Miri memperkenalkan salah satu perkhidmatan atas taliannya iaitu pameran elektronik bertema yang merupakan satu e-pameran mengenai maklumat umum dan video berkonsepkan pembelajaran.

“Tema atau topik e-pameran akan diubah setiap minggu hingga ke akhir minggu bulan Ramadan.

“E-pameran bertema ini akan mempamerkan pameran interaktif yang mempromosikan kebersihan sivik, pemakanan berkhasiat, pengurusan emosi dan mental serta pengetahuan am,” kata kenyataan itu semalam.

Tambahnya, terdapat lima tema yang telah dipilih dan tema pertama yang baru-baru ini telah dimuat naik dalam laman facebook rasmi Pustaka adalah bertajuk ‘5 Langkah ke Arah Penyediaan Makanan Selamat’ dan akan diikuti dengan tema seterusnya iaitu ‘Keracunan Makanan’, ‘Nutrisi dan Pemakanan Sihat,’ Pembelian Barangan Runcit’ dan ‘Kesedaran Kesihatan Mental atau Keganasan Rumah Tangga’.

“Kelebihan atau kebaikan pameran atas talian ini ialah anda dapat melihat pameran sebelumnya walaupun anda telah terlepas kerana anda masih boleh melihatnya apabila anda melayari laman facebook Pustaka rasmi kami.

“Pameran atas talian yang bertema ini sepanjang bulan Ramadan mencipta semula kaedah dan cara meneroka pelbagai media digital untuk meneruskan program dan perkongsian maklumat atau ilmu kepada masyarakat dalam tempoh PKP ini,” ujarnya.

Difahamkan, media visual dan digital mengambil alih pendekatan biasa untuk menghiburkan dan memberi maklumat kepada para pelanggan dan pengguna mengenai berita dan aktiviti semasa.

“Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat dan komuniti sekarang ini perlu berada di rumah setiap masa seterusnya menjadi hab maklumat semasa tempoh PKP ini.

“Kunjungi laman rasmi facebook kami iaitu pustaka.sarawak untuk melihat pameran dalam talian ini,” jelas kenyataan.

Sekiranya mempunyai pertanyaan, sila hubungi kami terus dengan menghantar e-mel ke librarian@sarawak.gov.my dan pertanyaan akan dijawab dengan segera