Pustaka Negeri Sarawak buka pintu kepada orang awam mulai 1 Disember ini

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak (PNS) mengalu-alu kedatangan orang ramai pada 1 Disember ini.

PNS dalam kenyataan turut memaklumkan Tempat Penyimpanan Rekod Negeri turut dibuka kepada orang ramai.

Dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dari terus menular, PNS menetapkan beberapa langkah keselamatan seperti mendaftar di WeCare, COVIDTrace, MySejahtera oleh setiap pengunjung yang mengunjungi pustaka.

“Bilik surat khabar, galeri, ruang koleksi khas dan semua bilik perbincangan masih ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

“Kami menghadkan jumlah orang di setiap bilik dan menetapkan penjarakkan sosial 1 meter antara satu sama lain,” katanya.

PNS turut menjelaskan, bacaan suhu kakitangan PNS dan pelawat akan diambil setiap hari dan kemudahan yang disediakan akan dibersihkan dengan kerap.

Tambahnya, pengguna digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian PNS untuk mengakses bahan bacaan dan Perkhidmatan Bookbear secara percuma.

PNS turut menasihatkan pengguna tidak hadir Pustaka sekiranya tidak sihat.