Pustaka Negeri Sarawak ditutup kepada awam

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak masih menutup premis bangunannya kepada orang awam dan hanya dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditamatkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Rashidah Bolhassan mengakui, tindakan tersebut merupakan satu tanggungjawab daripada pihaknya untuk membantu kerajaan membanteras penularan Covid-19 di negeri ini.

“Pustaka merupakan satu tempat untuk komuniti berhimpun, tidak kira di kawasan dalam mahupun luar bangunan ini.

“Jadi kita hanya akan membukanya semula selepas semua perintah kawalan ditamatkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Auditorium Atas 1, Pustaka Negeri Sarawak semalam.

Jelasnya lagi, penutupan Pustaka Kuching dan di Miri khasnya melibatkan fasiliti sewaan namun untuk perkhidmatan dalam talian ia berjalan 24 jam setiap hari.

Namun demikian katanya, untuk aktiviti riadah misalnya berjoging di kawasan taman adalah dibenarkan.

“Penggunaan taman dan trek joging Pustaka dibenarkan dengan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Kita juga memaklumkan kepada orang awam untuk sentiasa berhati-hati apabila melakukan aktiviti ini kerana kawasan tersebut sudah lama tidak dikunjungi,” katanya.

Sehubungan itu, sebarang kecederaan yang berlaku adalah tanggunjawab pengguna termasuklah setiap SOP perlu dipatuhi.

Pustaka turut menyerahkan satu peranti Raspberry Pi kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak yang digunakan, untuk menjayakan alternatif Pustaka in A Box bagi membantu 10 sekolah yang memerlukan akses Internet, peranti tersebut dilengkapi dengan segala maklumat, dapat digunakan untuk semua pelajar di satu-satu tempat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) Pustaka Alpah Adenan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Japri Bujang Masli; mewakili JPNS Sariah Mos dan Ketua Sektor Perputakaan Razak Rambili.