KUCHING: Putrajaya diingatkan supaya serius dalam menyelesaikan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bagi mengelak berlakunya referendum rakyat Sarawak yang mengundang kepada perpecahan hubungan dengan Malaysia.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata tidak menolak kemungkinan akan wujud referendum daripada rakyat jika rundingan MA63 untuk mengembalikan hak dan kuasa Sarawak terus mengecewakan.

“Sudah tentu Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan rundingan ini tidak sampai ke tahap pungutan suara rakyat, tetapi kalau rundingan terus mengecewakan mereka maka tidak mustahil sentimen ini akan muncul,” katanya ketika ditemu-bual, semalam.

Menurut Abdullah, kerajaan GPS komited untuk terus membangun di dalam Malaysia namun amat kesal dengan tindakan serta kenyataan pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mengabaikan Sarawak.

Katanya ia jelas apabila tuntutan kerajaan Sarawak mendapatkan royalti minyak sebanyak 20 peratus ditolak dengan alasan ia menjejaskan Petronas, selain tuduhan bahawa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.

Justeru bersempena sambutan Hari Sarawak hari ini, beliau menyeru rakyat Sarawak supaya terus bersatu mempertahankan Bumi Kenyalang ini, tanpa terlalu berfikiran ekstrem untuk keluar dari Malaysia.

“Tarikh 22 Julai amat signifikan dalam sejarah Sarawak dan setiap kita sebagai rakyat Sarawak harus menghayati dan menyelaminya,” katanya.

Gambar fail

Suara Sarawak