KUCHING: Kerajaan Persekutuan harus memberi ganjaran sewajarnya kepada Sarawak dalam penggubalan dasar pembangunan, khususnya perindustrian.
Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata ia kerana di sebalik sumbangan besar Sarawak terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara, Sarawak tidak diberi ganjaran sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sama ada masa dahulu atau sehingga hari ini, Sarawak telah berkongsi minyak dan gasnya untuk memacu pembangunan negara tetapi Sarawak tidak mendapat pampasan yang sewajarnya dan adil.
“Ini telah mengakibatkan sentimen kemarahan dalam kalangan rakyat Sarawak dan hal ini adalah tidak kondusif kepada perpaduan dan integrasi nasional. Kesilapan seperti itu tidak sepatutnya diulangi,” katanya dalam perbahasan sempena persidangan Parlimen, hari ini.
Selain itu, Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata Sarawak juga akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadi negara bebas karbon menjelang tahun 2050.
Katanya ia kerana elemen utama untuk mencapai sasaran itu ialah tenaga bersih dan pelepasan karbon rendah, dengan Sarawak mempunyai empangan hidroelektrik dan kawasan hutan yang luas.
“Sarawak mempunyai lebihan kuasa hidro bersih ini. Itulah sebabnya Sarawak Energy Berhad sedang berbincang dengan Singapura untuk menjual elektrik kepada Singapura, tetapi Kerajaan Persekutuan tidak memihak kepada idea tersebut.
“Kami bersetuju bahawa demi kepentingan negara secara keseluruhannya, tenaga bersih sebegini perlu dikhaskan untuk pembangunan perindustrian negara kita dan bukannya untuk membantu jiran kita.
“Walau bagaimanapun, Sarawak juga harus diberi ganjaran atau pampasan yang sewajarnya dan saksama kerana mangkhaskan kegunaan tenaga bersih ini untuk negara kita,” katanya.
Menjelas tentang pampasan yang betul dan adil, Chong berkata ia bukan merujuk kepada hanya dari segi peruntukan atau harga pembelian tenaga bersih berkenaan, tetapi harus diterjemahkan kepada keistimewaan tertentu dari segi dasar pembangunan perindustrian untuk menggalakkan pelaburan dan meningkatkan pembangunan perindustrian di Sarawak.
“Ia boleh wujud dalam bentuk insentif cukai khas atau peruntukan khas yang diberikan kepada syarikat-syarikat berteknologi tinggi supaya melabur atau membina kilang di Sarawak.
“Dalam masa yang lalu, kebanyakan insentif ini hanyalah tertumpu di Semenanjung Malaysia sahaja, ini telah mengakibatkan perbezaan tahap pembangunan dan diaspora rakyat Sarawak datang ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih lumayan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan mesti menggubal dasar untuk menarik pelabur ke Sarawak, dengan antara langkah dan dasar yang boleh dilaksanakan adalah seperti insentif cukai khas dan geran khas untuk mereka yang melabur dan membina kilang di Sarawak serta meningkatkan fasiliti pelabuhan di Sarawak.
Selain itu mewujudkan lebih banyak Zon Bebas Perdagangan di Sarawak, menyelaraskan syarat-syarat pelaburan asing di Sarawak dengan kerajaan negeri untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan, termasuklah proses pengambilan pekerja asing serta mewujudkan ‘trans-Borneo Rail’ untuk mengurangkan kos pengangkutan di Sarawak.
“Sarawak mungkin tidak mempunyai keseluruhan ekosistem untuk menyokong industri teknologi tinggi baharu sekarang.
“Bagaimanapun Sarawak mempunyai tenaga bersih, tanah yang lebih murah, tenaga buruh yang lebih murah, perkhidmatan awam yang lebih cekap dan dari segi sosial, Sarawak adalah tempat yang lebih harmoni untuk didiami. Semua ini adalah kekuatan dan kelebihan Sarawak dalam menarik pelaburan asing,” katanya.