Putrajaya semakin panas, Tun Mahathir letak jawatan

KUCHING: Negara terus dikejutkan dengan pengumuman demi pengumuman, di sebalik spekulasi kencang mengenai pakatan baharu susulan pertemuan politik semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan baru menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebentar tadi.

Difahamkan Jabatan Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Ia kemudian disusuli dengan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang juga dipengerusikan Mahathir keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan, menjelaskan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

“Semua Ahli Dewan Rakyat dari BERSATU juga dengan ini keluar PH.

“Semua mereka telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Manakala, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini memutuskan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dipecat berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tindakan drastik itu diambil kerana tindakan kedua-dua individu berkenaan semalam adalah satu pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan PH.

Suara Sarawak