Trending

PUWas bantu usahawan wanita dapat lesen perniagaan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SARIKEI: Usahawan wanita negeri ini terus dibantu melalui pelbagai pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk memudahkan mereka untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Usaha itu dilaksanakan melalui penganjuran Program Pelesenan Perniagaan Usahawan Wanita Sarawak (PUWas) di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad, berkata, program itu bukan sahaja membantu usahawan wanita mendapatkan lesen dan permit tetapi juga memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan yang disediakan.

“Ramai peniaga termasuk usahawan wanita terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Malah yang tidak berjaya mendapat bantuan yang disediakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kerana gagal memenuhi kriteria antaranya, tidak memiliki lesen atau permit perniagaan.

“Atas kesedaran itu, kita mahu membantu mereka dengan menyediakan kemudahan melalui PUWas @Sarikei. Selepas Sarikei, penganjurannya akan diteruskan di daerah Sibu.

“Kita berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk mendapatkan lesen sekaligus memperluaskan lagi perniagaan mereka,” katanya pada majlis penangguhan program itu di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

Dalam pada itu, beliau juga berharap usahawan wanita bijak memanfaatkan peluang untuk meningkatkan produktiviti perniagaan mereka termasuk menerokai potensi besar pasaran dalam talian.

Pada masa yang sama katanya, mereka juga harus melengkapi diri dengan kemahiran yang sesuai dengan kemampuan di samping melengkapi diri supaya mampu berdaya saing.

“Kaum wanita mampu menempa kejayaan tersendiri melalui pendekatan yang lebih baik dan mereka wajar merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya.

Program dihadiri usahawan wanita di sekitar Sarikei termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan wakil pelbagai agensi.

Majlis bertambah seri dengan kehadiran ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru