Polis Meradong fokus bendung jenayah

BINTANGOR: Polis mempergiatkan usaha bagi membendung jenayah dalam mengekalkan status Meradong sebagai daerah selamat.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, pihaknya akan bekerjasama erat dengan pelbagai pihak untuk membendung gejala itu daripada berleluasa.

“Polis terus melaksanakan pelbagai pendekatan proaktif bagi menjamin ketenteraman dan keselamatan penduduk kawasan ini.

“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kita dapat menjalankan tugas baik,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak pada Program Run Against Crime di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kadar jenayah di Meradong, Sekam menjelaskan jumlah kes terutama pecah rumah termasuk curi motosikal sedikit meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, modus operandi penjenayah mensasarkan rumah yang ditinggalkan dan memecah masuk melalui pintu belakang.

Abdullah menyempurnakan acara sepak mula.

“Penjenayah juga mensasarkan motosikal yang tidak mempunyai alat keselamatan mencukupi.

“Bagi kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah pula, kita tidak menafikan memang ada berlaku. Malah, Polis juga sudah mengenalpasti tokan yang terlibat. Bagaimanapun, kes ini belum serius.

“Dalam pada itu, usahasama pihak polis bersama pasukan sukarela setempat juga dipercayai mampu memupuk semangat muhibbah antara masyarakat dan pasukan keselamatan,” tambahnya.

Program yang diselitkan dengan kempen anti dadah  yang melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarikei itu, bermatlamat mengalak penyertaan aktiviti golongan belia dalam aktiviti lebih sihat.

Selain ceramah dan pameran berkaitan dadah, program juga akan diserikan dengan pelbagai acara menarik yang lain antaranya, persembahan busking, pertandingan memasak, bolasepak jalanan, takraw bulatan dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, penganjuran program turut dibantu Parti PBB N.46 Meradong, Saberkas, Pemuda PBB dan Skuad Sayang.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol.

Hadir sama, Pegawai Daerah Meradong, Baijuri Bidin, Setiausaha Polis Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie, Teng Ung Woo dan pemimpin masyarakat setempat.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie turut hadir menyerikan program.