Raghad, Willie dan Ali antara penerima gelaran sempena Hari Wilayah Persekutuan

KUCHING: Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok Ali Biju adalah antara 335 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021, hari ini.

Raghad adalah antara enam penerima anugerah Seri Utama Mahkota Wilayah, yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Sementara itu, Willie dan Ali Biju adalah antara 81 penerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Dalam Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional, Ali Biju memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli manakala Willie adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi .

Justeru itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan berkata tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada para penerima.

“Walaupun istiadat belum diadakan, penerima boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama sebelum nama mereka. Wanita, yang suami mereka telah dikurniai Pangkat Darjah Kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama Datin Seri Utama, Datin Seri, Datin sebelum nama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021.