KUCHING: Teka-teki individu yang bakal mengisi posisi Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum terjawab dan masih menjadi tanda tanya setakat hari ini.
Bagaimanapun, masyarakat umum yang memberi pendapat membayangkan bahawa penggiat dunia sukan tersohor negeri Sarawak, Datuk Rahman Lariwoo, 63 adalah calon paling layak duduk di kerusi panas badan induk berkenaan.
Fadillah Sulaiman yang juga salah seorang peminat sukan memberitahu, Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA) itu merupakan individu paling layak.

“Beliau (Datuk Rahman Lariwoo) seorang yang berpengalaman dalam pengurusan sukan.
“Saya yakin, tiada masalah sekiranya beliau diberi peluang memimpin FAS nanti,” ujar Fadillah kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Fadillah, Datuk Rahman Lariwoo seorang individu boleh mengemudi FAS dengan pengalaman luas lebih 10 tahun dalam pengurusan persatuan sukan.
Selain, minat mendalamnya terhadap sukan bola sepak serta sering mengikuti rapat perkembangan pasukan bola sepak negeri.
Datuk Rahman merupakan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Nama beliau cukup dikenali dalam arena tinju tempatan mahupun negara apabila diberi peranan sebagai Pengurus Pasukan Tinju Kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Sukan Komanwel di Gold Coast Australia pada 2018.
Di bawah kendalian Rahman, skuad tinju Sarawak berjaya merangkul dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur menjadikannya pencapaian terbaik skuad tinju negeri setakat ini.