Rahsia mantapkan hubungan perkahwinan dalam talian

KUCHING: Seramai 63 pasangan menyertai program kursus kekeluargaan dan perkahwinan yang diadakan secara dalam talian pada 15 April hingga 6 Jun lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program itu bukan sahaja memantapkan institusi kekeluargaan malah ia berdaya saing menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

“Program ini hasil kolaborasi antara Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan Alpha Malaysia Sarawak melalui Teras Dua Pemantapan Institusi Keluarga bagi keluarga bukan Islam menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Mandarin.

“Program ini mempunyai 10 siri dan pernah disertai seramai 670 peserta sejak 2017. “Manakala 506 peserta mengikuti 20 siri program sejak 2014,” katanya pada majlis penutupan The Virtual Marriage Course Graduation Party yang diadakan baru-baru ini menerusi aplikasi Zoom Meeting.

Antara objektif program ialah untuk merapatkan hubungan pasangan dan menyokong pembangunan kekeluarga dalam mendidik anak dan sebagainya.

Program ini turut dilaksanakan sepanjang PKP dan PKPB melalui aplikasi yang sama melibatkan tujuh sesi dalam seminggu. Menurutnya, setiap sesi mengambil masa selama dua jam 15 minit dan dilakukan setiap hari dalam tempoh seminggu.

Jelasnya lagi, inisiatif ini merupakan antara usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak bagi memantapkan institusi keluarga di negeri ini meskipun terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran dalam pelaksanaannya.

Diharapkan program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dalam mengutamakan nilai kasih sayang dalam keluarga masing-masing.

Hadir sama Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad, Bishop Kuching dan Brunei Darussalam Datuk Danald Jute dan Pengarah Nasional Malaysia Bhd Paul Kong.

Suara Sarawak