Rahsia nanas Loba Bunut

BINTANGOR: Pasaran nanas yang dihasilkan pekebun di daerah ini mempunyai potensi cerah untuk berkembang berikutan permintaan tinggi terhadap komoditi itu.

Sasaran tersebut diyakini mampu dicapai menerusi inisiatif penanaman baka bermutu tinggi yang diusahakan secara berkelompok oleh pekebun nanas di Loba Bunut Bintangor.

Setiausaha Persatuan Anak Melayu Bintangor (PAMB), Mohd Daud Ikeram berkata, penanaman nanas daerah itu bermula sejak 40 tahun lalu, secara kecil-kecilan untuk tujuan sara diri bagi menampung keperluan keluarga.

Bagaimanapun katanya, tanaman mula diusahakan secara komersial selepas mendapat permintaan menggalakkan bukan sahaja di Bintangor tetapi juga daerah di sekitar Sarikei dan Sibu.

“Penanaman nanas di Loba Bunut melalui beberapa peringkat.

AHLI Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab (kiri) meninjau ladang nanas Loba Bunut.

Fasa pertama bermula pada 1980-an dengan melibatkan kawasan kira-kira 60 hingga 100 ekar yang diusahakan secara individu.

“Kita mula mengusahakannya secara berkelompok sejak tiga tahun lalu di atas tapak berkeluasan 44 hektar melalui penglibatan seramai 88 orang peserta dengan tanaman nanas jenis MD2.

“Walaupun sektor ini sudah lama wujud di Bintangor, namun potensinya mesti digilap melalui pendekatan yang lebih moden dan tersusun.

“Kita bertuah kerana mendapat sokongan padu kerajaan dan agensi yang berkaitan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, mereka memilih nanas jenis MD2 kerana baka itu mempunyai rasa yang enak dan manis selain semakin popular ditanam untuk menampung pasaran domestik serta dieksport.

KHAIRUL ANUAR DAUD menunjukkan jus nanas segar yang dihasilkannya.

Menurutnya, sebiji nanas yang matang dan sudah boleh dikutip mencecah berat antara 1.5 sehingga 3.5 sekilogram dengan harga di pasaran antara RM5 hingga RM12 sekilogram.

Permintaan untuk nanas terutama jenis MD2 , sangat tinggi dan dijangka terus berkembang pada masa akan datang.

“Lebih membanggakan apabila sebahagian besar mereka yang aktif mengusahakan tanaman ini terdiri dalam kalangan mereka yang berusia 30 hingga 45 tahun.

“Perkembangan positif ini diperkukuhkan lagi melalui inovasi pekebun yang menghasilkannya dalam bentuk lain bagi menjana pendapatan selain menampung keperluan sektor makanan siap antaranya, jus segar dan jem nanas,” katanya.

Mohd Daud optimis industri nanas Bintangor mempunyai masa depan yang cerah berikutan permintaan tinggi dari pasaran luar.

Malah katanya, sokongan padu agensi berkaitan yang sentiasa menghulur bimbingan dan melakukan pemantauan membantu mereka meningkatkan hasil tanaman serta pengeluaran.

“Dalam pada itu, kami membangunkan tanaman ini secara berkelompok supaya infrastruktur asas seperti jalan ladang dapat dibina dengan lebih teratur seterusnya memudahkan pengeluaran.

“Kami amat gembira dengan inisatif pihak kerajaan yang membina kilang pemprosesan nanas di Bintangor, ” tambahnya.

MOHD DAUD IKERAM

Suara Sarawak