KUCHING: Kesukaran untuk mendapatkan makanan sihat bagi pengamal kesihatan, mendorong Azwan Rosdan membuka perniagaan sendiri.
Dietfit, premis makanan yang beroperasi di Pusat Penjaja Kubah Ria tampil dengan kelainan yang menyediakan sajian sihat.
Bagi anak muda berusia 27 tahun itu, ia selaras dengan aktiviti sebagai jurulatih bina badan sejak tiga tahun lalu selepas bergiat aktif dalam sukan berkenaan.
Tanpa diduga, usahanya berhasil apabila produk sihatnya mendapat sambutan yang menggalakkan, terutama mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan seimbang.
Menurut bekas peserta Mr Sarawak 2017 itu, produk yang dihasilkannya ialah seratus peratus daripada bahan organik dan rendah kalori.
“Mungkin disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai mula sedar kepentingan mengamalkan cara hidup sihat.
“Malah sejak pandemik, jualan kami agak laris dan memberangsangkan… di luar jangkaan kami.
“Selain itu, Dietfit juga menyediakan pakej mingguan dan bulanan iaitu pelanggan akan mendapat makanan mengikut jadual,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.
Sementara itu, Azwan tidak menafikan cabaran yang dihadapinya, lebih-lebih lagi beliau masih baharu bidang tersebut.
“Ya… tidak dinafikan perkara ini khususnya saya baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, namun semua ini perlu ada persediaan untuk berdepan dengan risiko,” ujarnya.
Beliau berharap agar anak muda yang mahu menceburi bidang perniagaan perlu mempunyai perancangan rapi.
Ini kerana katanya, keadaan ekonomi yang tidak menentu akan menyukarkan situasi perniagaan.
Namun, Azwan yakin ia boleh diatasi dengan strategi yang betul bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang diusahakan.