Rai, hargai Bulan Kemerdekaan

TIDAK seperti saban tahun, program Bulan Kemerdekaan tahun ini agak terbatas, ekoran kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.

Walaupun penularannya terkawal, dan semakin pulih, namun langkah berjaga-jaga tetap diteruskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Yang pasti, ia bukanlah halangan untuk kita merai dan menghargai Bulan Kemerdekaan. Tidak semestinya ia ditonjolkan melalui program atau aktiviti seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

Apa yang lebih penting, semangat dan rasa cinta akan negara sentiasa membara dan menyala-nyala, sebagaimana yang dibuktikan para pejuang terdahulu.

Demi negara tercinta, demi tanah air, mereka sanggup berkorban, sehingga rela menitiskan darah sendiri. Bagi mereka yang faham dan mengenal erti perjuangan, maruah bangsa dan harga diri, semangat merdeka akan terus mengalir di dalam tubuh walaupun tanpa turun ke medan perang.

Erti kemerdekaan telah pun diperturunkan dari generasi kepada generasi hinggalah ke generasi era digital sekarang ini, generasi yang akan menyambung tradisi kemerdekaan selepas ini dan seterusnya.

Sudah pasti, pengisian kemerdekaan jauh berbeza, tetapi misi dan perjuangan kita tetap sama, memastikan negara yang kita cintai ini akan terus kekal harmoni, makmur dan aman damai di bawah payung perpaduan yang menjadi lambang kebanggaan kita selama ini.

Usahlah cemari Bulan Kemerdekaan ini dengan tindaktanduk yang tidak berfaedah, misalnya cuba memecahbelahkan rakyat, hanya kerana kepentingan peribadi.

Dan lebih malang apabila tindakan tersebut dilakukan sendiri oleh pemimpin yang suatu ketika dahulu sering melaungkan semangat merdeka dan mengagungkan slogan perpaduan. Adakah semangat itu sudah pudar atau lenyap, gara-gara taasub dengan kuasa?

Ia menyebabkan rakyat muak, marah dan benci, sehingga menganggap pemimpin seperti itu bagai ‘gunting dalam lipatan’. Isilah bulan yang baik dan penuh bermakna ini dengan perkara yang lebih berfaedah, dengan muhasabah diri, menghargai apa yang telah kita lalui dan nikmati selama ini.

Jadilah pemimpin contoh yang disayangi dan disegani ramai. Sebagai rakyat, kita juga mempunyai peranan masingmasing. Cinta akan negara langsung tidak bermakna, jika ia hanya disebut tanpa direbut dengan melakukan sesuatu yang memberi makna.

Misalnya mengajak masyarakat, terutama generasi muda untuk menghargai apa yang ada di sekeliling kita, sama ada pembangunan fizikal mahupun mental atau alam sekitar, kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab masyarakat merdeka.

Semangat merdeka bukan sekadar memasang bendera di sisi kenderaan, rumah atau bangunan, tetapi ia perlu diiringi rasa tanggungjawab untuk menjaga negara bangsa terutama aspek keselamatan, yakni mengelak perbalahan atau mencetuskan kontroversi, provokasi, lebih-lebih lagi yang membabitkan kaum dan agama.

Penjarakan fizikal sepanjang Covid-19 bukanlah halangan untuk kita merapatkan saf hubungan… biarlah fizikal agak jauh, tetapi hati kita saling mendekati. Ia seiring dengan jiwa merdeka apabila semua kita berganding bahu memerangi wabak yang amat berbahaya ini.

Jangan korbankan semangat merdeka, hanya kerana nafsu dan kuasa, yang akhirnya rakyat yang menjadi mangsa dan binasa.

Suara Sarawak