Raih RM8,000 sebulan jual kraf rotan

KUCHING: Menggunakan hasil sumber rotan dari hutan, Maister Lolee dari Long Leng, penduduk Penan boleh meraih pendapatan tidak kurang daripada RM8,000 sebulan.

Bapa kepada enam anak ini menyatakan dengan hasil kraf rotan tersebut dia mampu memberi pendidikan kepada anak-anaknya walaupun ia bukan sesuatu yang mudah untuk komuniti Penan.

“Kami masyarakat Penan memang menggunakan rotan sejak turun-temurun. “Kraf rotan ini dihasilkan kami sekeluarga untuk dijual di kampung dan ketika pameran seperti di sini,” katanya kepada Suara Sarawak semasa ditemui semasa pameran Agrofest Sarawak di Stadium Negeri di sini, semalam.

Katanya, Jabatan Pertanian banyak membantunya membangunkan perniagaan sehingga mempunyai sebuah kedai menjual kraf tangan rotan di Miri.

“Saya diberikan latihan dan kursus daripada Jabatan Pertanian. “Dari situ, saya belajar cuba menceburi bidang perniagaan sehingga mempunyai sebuah kedai kraf rotan di Miri,” katanya.

Mengulas lanjut, Maister berkata, masalah besar yang dihadapinya ialah ketika memulakan perniagaan ialah dana. “Saya bukan daripada keluarga yang berduit, selain tidak mempunyai pendidikan. Ini menyebabkan, perbelanjaan menjadi masalah besar bagi saya jika ingin keluar menyertai ekspo.

“Memikirkan kos makanan, penginapan dan kos pengangkutan menjadikan saya takut jika belanja tidak cukup,” terangnya. Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk menjual hasil kraf rotan sekali gus memperkenalkan produknya kepada orang ramai.

“Saya tetap berusaha dan terus menguji nasib kerana melalui kraf rotan inilah saya mencari pendapatan untuk menyara enam orang anak dan isteri. “Saya juga menggaji orang kampung untuk mencari rotan. Sekurang-kurangnya ada pendapatan untuk mereka juga,” katanya.