Raikan siswazah secara maya

KOTA SAMARAHAN: Buat julung kalinya, Unimas menganjurkan Majlis Maya Kelas 2020 Unimas bagi meraikan 3,210 pelajar sarjana dan 343 siswazah yang telah menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing tahun ini, kelmarin.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi memberi jaminan bahawa majlis tersebut bukan untuk menggantikan konvokesyen tetapi bagi meraikan graduan dan keluarga mereka.

“Konvokesyen sebenar akan diadakan apabila keadaan mengizinkan kelak kerana pada waktu ini pandemik Covid-19 masih tidak mengizinkan kita mengadakan majlis konvokesyen yang pada awalnya dijadual pada Oktober lalu.

“Bagaimanapun, menamatkan pengajian adalah peristiwa yang menggembirakan dan tidak mudah bagi para pelajar ini menamatkan pengajian mereka dalam pembelajaran norma baharu seperti secara dalam talian.

“Dan tidak mudah bertahan melalui cabaran era baharu yang sangat mencabar ini, tetapi pelajar kelas tahun 2020 menunjukkan bahawa tidak ada yang mustahil jika anda mempunyai kehendak dan tekad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Majlis Maya Kelas 2020 Unimas pada siaran secara langsung melalui Facebook Rasmi Unimas kelmarin.

Beliau turut menasihatkan graduan bahawa dalam keadaan sekarang, peluang pekerjaan mungkin terhad kerana krisis ekonomi dunia, tetapi ada banyak peluang di luar menunggu untuk diterokai.

“Saya mencadangkan bidang keusahawanan sebagai salah satu cabang kerjaya yang boleh diteroka dan membantu mewujudkan pekerjaan, seterusnya membantu memakmurkan ekonomi di negara atau wilayah masing-masing.

“Ini mungkin akan menjadi platform yang baik, kembali ke tempat anda dan membantu menyatukan masyarakat serta merapatkan jurang sosial, ekonomi, dan politik.

“Bersikap baik dan bersaing dalam bidang apa-apa pun yang anda kejar.

“Bawa semangat Unimas teguh bersama ke mana-mana sahaja anda pergi.

Jadilah perubahan yang diperlukan dunia,” ujarnya.

Majlis maya tersebut dibahagikan kepada 10 pautan untuk diikuti oleh 10 fakulti dalam satu sesi dan dihadiri oleh pelajar pascasiswazah dan sarjana, keluarga dan kakitangan Unimas dengan ribuan mereka bergabung melalui platform langsung Facebook.