Trending

Raja, Permaisuri berduet dendang Pesanan Buat Kekasih

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
AL-Sultan Abdullah bersama dengan Al-Sultanah Azizah medendangkan lagu 'Pesanan Buat Kekasih' untuk masyarakat Sibu.- Foto Ukas

SIBU: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan rasa kagum atas sambutan luar biasa penduduk Bintulu dan Sibu ketika menyambut kedatangan rombongannya ke sini.

Baginda dengan itu turut merakamkan penghargaannya atas sambutan yang hangat itu yang disifatkannya sebagai hebat.

“Terima kasih kepada penduduk Bintulu dan Sibu kerana memberikan sambutan yang meriah kepada kami. Saya sangat terharu dan dengan hati yang ikhlas, ini adalah manifestasi bahawa penduduk Borneo hebat kerana mereka sanggup menunggu keluarga saya dan saya ,” titah Al-Sultan Abdullah ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Sibu di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di sini, malam tadi (Isnin).

Rombongan pasangan diraja itu bersama keluarga tiba di Dewan MUC pada jam 9.35 malam serta meluangkan masa kira-kira sejam untuk menghadiri majlis makan malam itu.

Majlis makan malam itu diadakan bersempena dengan jelajah Kembara Kenali Borneo yang sedang berlangsung.

Baginda bertitah, baginda masih dalam suasana ceria walaupun setakat ini telah memandu sejauh 1,700km dari Tawau ke Sibu.

“Secara keseluruhannya saya ingin merakamkan penghargaan kerana sudi menerima kami ke Kampung Nyabor di sini. Saya lihat ramai yang berbaris menyambut kami. Ini akan terus terpahat di hati kami,” katanya.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menghadiri majlis makan malam itu, yang diadakan sempena Kembara Kenali Borneo, yang memasuki hari kesembilan, pada Isnin.

Di akhir majlis, kedua pasangan diraja itu mendendangkan lagu ‘Pesanan Buat Kekasih’ kepada hadirin.

Pasangan Diraja itu beserta keluarga akan meneruskan kunjungan mereka dengan menyantuni pengunjung di Pasar Sentral Sibu hari ini (Selasa) sebelum menyambung semula jelajah mereka ke bandar Sri Aman dan kemudiannya terus ke Kuching.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pelancongan, Budaya dan Seni Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee, Putera Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru