ARTIKEL

Rajang berpotensi jadi pengeluar beras terbesar S’wak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RAJANG: Kejayaan projek penyelidikan Skim Penanaman Padi Sungai Bapak Rejang, menjadikan kawasan Rajang berpotensi menjadi pengeluar beras terbesar di Sarawak.

ADUN Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, walaupun masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan, tetapi dengan kerjasama beberapa pemilik tanah dan Lembaga Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) membuahkan hasil seperti yang dijangkakan.

“Justeru, mana-mana pemilik tanah yang masih belum menyertai, saya menyeru agar mempertimbang untuk menyertai skim ini.

“Peserta bukan sahaja mendapat pendapatan melalui sewaan tanah, malah berkongsi hasil lumayan dengan pihak pengusaha,” katanya ketika melawat kawasan Skim Penanaman Padi Sungai Bapak, Rejang di sini.

Menurut beliau, selain dikembangkan untuk komersial, usaha itu juga menjadi salah satu strategi bagi keterjaminan makanan di Sarawak agar tidak hanya berharap dengan bekalan beras dari luar.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, setakat ini seramai 13 peserta dengan 20 lot tanah berkeluasan 82.1 ekar menyertai skim itu, iaitu empat lot berkeluasan 15.7 ekar sudah ditanam untuk kajian fasa 1 bermula Januari lalu.

“Secara keseluruhannya, kawasan skim ini lebih 800 ekar iaitu 520 ekar merupakan milik penduduk dan selebihnya merupakan tanah kerajaan,” jelasnya.

Len yang juga pengerusi LAKIKR berkata, beliau turut memohon sejumlah 226.8 ekar kepada Kerajaan Sarawak, melibatkan tanah kerajaan di Skim Sungai Bapak kepada bagi tujuan penanaman padi dengan kerjasama LAKIKR dan Kumpulan Ta Ann.

“Jika projek tanaman padi ini dapat dikembangkan, secara tidak langsung industri hiliran lain berkaitan dengan beras juga mampu dijalankan seperti tepung beras dan mihun,” katanya.

Len turut menyeru para pemilik tanah di kawasan Sungai Bapak Kampung Rajang agar turut serta dalam projek yang dijalankan oleh PadiHead Sdn Bhd, Kumpulan Ta Ann agar misi dan matlamat menjadikan Rajang sebagai pengeluar beras terbesar di Sarawak menjadi kenyataan

. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ta Ann, Datuk Amar Abdul Hamid Sepawi dan Pengurus Besar merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Ta Ann, Dato KH Wong

BERITA LAIN

BERITA TERBARU