Rakyat AS terima vaksin Covid-19

WASHINGTON: Rakyat Amerika Syarikat (AS) menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bermula hari ini, kata pegawai yang bertanggungjawab menguruskan operasi agihan vaksin itu, pada Ahad.

Jeneral Gus Perna berkata, dos pertama akan dihantar pada Ahad dan bermula pagi Isnin, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengagihkannya kepada rakyat AS.

“Kami menjangkakan 145 tempat di seluruh negara menerima vaksin pada Isnin, 425 tempat lagi pada Selasa. Baki 66 tepat pada Rabu, sekali gus melengkapkan penghantaran awal vaksin Pfizer-BioNTech,” katanya.

Sejumlah tiga juta rakyat AS dijangka menerima vaksin untuk pusingan pertama.

Pihak berkuasa kesihatan persekutuan AS menyarankan petugas kesihatan dan penghuni rumah penjagaan diberi keutamaan menerima vaksin itu, namun ia akan diputuskan setiap negeri.

AS menjadi negara keenam memberi lampu hijau kepada vaksin Pfizer pada Jumaat lalu, yang memiliki 95 peratus keberkesanan untuk menghalang jangkitan Covid-19.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS bagaimanapun menasihatkan individu yang mempunyai alahan yang teruk pada bahan dalam vaksin itu supaya tidak mendapatkan imunisasi berkenaan buat masa ini. – AFP