Rakyat Bau harap pembangunan mesra alam

BAU: Rakyat di Bau berharap agar pembangunan mesra alam dan mampan di kawasan berkenaan untuk generasi akan datang.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep memohon supaya Ketua Menteri melupuskan kawasan-kawasan di bawah pajakan perlombongan dalam membangunkan industri pelancongan di kawasan Bau.

“Walaupun tiada aktiviti perlombongan emas dijalankan namun sebilangan besar tanah masih dalam perlombongan sewa yang menjadikan tanah tersebut tidak dapat dibangunkan.

“Tanah itu memiliki potensi besar untuk dikembangkan sebagai kawasan perumahan, tempat pelancongan termasuk hotel, resort dan padang golf untuk membantu pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Sambutan Sempena Sejarah Bau ke-200 (1820-2020) yang dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Tasik Biru, hari ini.

Tambahnya, Bau boleh dijadikan sebagai industri pelancongan yang memanfaatkan rantaian pelancongan Santubong hingga ke Sematan.

Oleh sebab itu, beliau menyeru agar rakyat di kawasannya mengambil peluang untuk memajukan diri serta belajar daripada sejarah untuk memperbaharui kelemahan diri.

“Oleh itu, kita harus bersepakat, satu jiwa, satu hasrat dan satu matlamat untuk terus membangun dari segi infrastruktur, sosio-ekonomi, dan pendidikan supaya terus menjadi tunjang masyarakat generasi di Bau,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dan Adun Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

Suara Sarawak