Rakyat Beting Maro bersyukur

PUSA: Masyarakat di kawasan Dun Beting Maro sudah menikmati pelbagai kemudahan hasil projek pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan selama ini.

Ketua Penerangan PBB Beting Maro Ramzi Rasit berkata, ia memberi keselesaan berganda dalam kehidupan seharian penduduk.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Sarawak diharap dapat memberi fokus terhadap beberapa projek yang mengalami sedikit kelewatan pelaksanaannya.

“Rakyat patut bersyukur. Usaha Adun Beting Maro Razaili Gapor bersama-sama Kerajaan Sarawak selama ini nampaknya berjaya dinikmati sungguhpun ada beberapa projek yang terlalu lama untuk disiapkan, yang akhirnya menimbulkan pelbagai isu lain.

“Bagi saya, wakil rakyat kita sudah bekerja sebaik mungkin dan beliau tidak harus dipersalahkan dengan kelewatan pelaksanaan projek tertentu.

“Beliau seorang pemimpin yang bekerja keras. Justeru itu mewakili suara penduduk, kami memohon kerajaan memantau proses pelaksanaan setiap projek.

“Kalau ada yang lambat, mohon dipercepatkan demi kemudahan bersama,” katanya ketika ditemui selepas program Sembang Santai di Dewan Rahmaniah dekat sini, semalam.

Dalam pada itu jelasnya, rakyat seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan GPS yang cukup mengutamakan aspirasi rakyat.

Beliau juga merayu agar Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terus melimpahkan pembangunan kepada kawasan Dun ini dan daerah Pusa amnya.

Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Ketua Menteri Helmi Hazemi; Timbalan Ketua PBB Cawangan Awang
Sarbini Gapor; Naib Ketua PBB Cawangan Mohidin Bolhassan dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Hajijah Lueng.

Suara Sarawak