Rakyat bijak buat pilihan

KUCHING: Kematangan politik di negara ini harus dicapai agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada rakyat. Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, selepas PRU-14, senario politik negara telah berubah kerana rakyat bijak menilai.

Menurutnya, sudah tiba masanya bagi Malaysia mencapai kematangan politik kerana rakyat bijak dalam membuat penilaian. Jelas beliau, ketika ini kematangan politik negara belum tercapai kerana senario politik semasa masih berlegar-legar antara tokoh politik lama.

“Di mana muka baharu? Muka baharu belum muncul diri kerana masih mengamalkan budaya politik lama, budaya politik tidak matang. “Mereka ini apabila dikritik, mereka marah sedangkan politik matang ini apabila dikritik kita akui kesalahan kita, apabila dipuji, kita minta pendapat tambahan,” katanya.

Dr Juanda berkata demikian sebagai salah seorang panel pada rancangan Kopi Panas, Landskap Baharu Politik Sarawak yang disiarkan di laman Facebook Borneo Channel pada Sabtu.

Mengenai potensi golongan muda diketengahkan sebagai pemimpin Juanda berkata, beliau bersetuju golongan muda yang berpengalaman dan berkemahiran diangkat menjadi pemimpin.

Tambah Juanda, darah baharu ini akan bekerja keras untuk menarik perhatian pemegang taruh iaitu bakal pengundi di kawasannya.

Beliau menjelaskan, dalam sesuatu pemerintahan, harus terdapat adunan golongan berpengalaman dan golongan muda.

“Komponen pemerintahan ini terdiri daripada pelbagai peringkat dan kemampuan. Jadi adunan ini akan membawa kemajuan kepada negara,” katanya.