Rakyat bijak menilai kerajaan

KUCHING: Mengumumkan peruntukan dan projek bernilai berjutaan ringgit, tidak boleh lagi digunakan sebagai umpan dalam kempen pilihan raya. Adun Engkilili Dr Johnichal Rayong berkata, sebagai kerajaan khususnya, adalah menjadi tanggungjawab memberikan peruntukan dan projek semasa memerintah dan bukannya menjanjikan semasa pilihan raya.

Katanya, ia kerana rakyat sudah bijak menilai dan memilih kerajaan, di mana ini dapat dilihat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, ini berlaku kepada BN pada PRU Ke-14 apabila tewas walaupun menjanjikan peruntukan dan projek mega kepada rakyat, dan begitu juga PH yang kehilangan kerusi Tanjung Piai.

“Walaupun Kerajaan PH berkempen habis-habisan dan berjanji dan mengumumkan peruntukan serta projek yang berjutaan ringgit namun umpan itu tiada kesan terhadap kebanyakan pengundi.

“Kalau kita tengok trend kebanyakan pengundi sekarang, segala peruntukan dan projek bukanlah sebagai kayu pengukur untuk menentukan pemikiran rakyat untuk memberi sokongan kepada mana-mana calon,” katanya yang dihubungi, semalam.

Rayong yang mengulas kekalahan PH di Tanjung Piai juga disebabkan PH gagal me-nunaikan janji PRU Ke-14, selain faktor calon dan juga kepimpinan parti.

Beliau menambah, ia juga memperlihatkan kebangkitan rakyat dalam menolak kerajaan yang gagal menunaikan janji.

“Saya yakin keputusan yang mengejutkan ini akan berlaku semasa pilihan raya negeri yang akan datang. “Ini adalah kerana perubahan angin tsunami politik pasti akan berlaku,” tegasnya.