SIBU: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti berharap permohonan Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dapat mencapai 90 peratus tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi bagi mencapai KPI untuk peringkat kementeriannya.
Menurut beliau, di Sarawak tahun lalu kedua-dua permohonan tersebut mencapai 72 peratus daripada 32,740 kelahiran bagi EFS manakala 80 peratus daripada 26,687 ibu yang bersalin memohon BIB.

Susulan itu, kementeriannya mahu melihat peningkatan dari segi permohonan kedua-dua bantuan tersebut.
“Ini adalah bantuan dari inisiatif kerajaan Sarawak untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Oleh itu, kita mesti mencapai sasaran 90 peratus seperti KPI yang telah ditetapkan,” katanya selepas melawat Wad Bersalin di Hospital Sibu, hari ini.
Dalam usaha mempertingkatkan permohonan itu, Fatimah berkata pihaknya telah buat permohonan secara dalam talian untuk membolehkan permohonan dibuat pada bila-bila masa atau di mana-mana.
Dengan alternatif sebegitu, Adun Dalat itu berkata pemohon tidak lagi perlu pergi ke jabatan atau agensi kerajaan untuk memohon.
“Apa yang penting, semua dokumen hendaklah lengkap. Ini lebih mudah terutama di kawasan yang ada liputan Internet. Bagi kawasan yang tidak mempunyai liputan, terpaksa menggunakan cara manual,” ujarnya.
Beliau berkata, EFS yang diperkenal kerajaan negeri pada 2019 telah menerima sambutan menggalakkan dengan 80 peratus permohonan daripada 36,117 pendaftaran kelahiran.
Untuk tahun 2020 ujar beliau, permohonan telah meningkat kepada 85 peratus sebelum menurun secara drastik kepada 69 peratus semasa pandemik Covid-19 pada 2021.
Beliau memberitahu, semasa pasca Covid-19 pada tahun 2022, permohonan meningkat kepada 72 peratus kerana berlaku kenaikan dari segi kelahiran pada waktu itu iaitu 32,740 kelahiran.
Bagi BIB pula, jelasnya, bantuan yang bermula pada 2020 itu kurang mendapat sambutan iaitu hanya 65 peratus daripada ibu yang bersalin, sebelum meningkat kepada 83 peratus pada 2021.
Namun pada tahun 2022, katanya, berlaku penurunan permohonan BIB kepada 80 peratus daripada 26,687 jumlah keseluruhan ibu bersalin di Sarawak ketika itu.