Rakyat ditimpa musibah terus dibantu

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) membelanjakan sebanyak RM1,771,751 untuk membantu mangsa yang ditimpa pelbagai jenis bencana di seluruh negeri ini sehingga April tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, terdapat 264 kes bencana yang melibatkan kejadian kebakaran, tanah runtuh, ribut, banjir dan kemarau berlaku di Sarawak dalam tempoh itu.

“Mereka yang terjejas menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Bencana yang diperkenalkan pada 2017. “Dana di bawah skim ini diperuntukkan sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media mengenai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan bantuan bencana di Wisma Kebajikan di Petra Jaya, semalam.

Tambah Fatimah, sehingga tempoh itu kejadian kebakaran di negeri Sarawak merekodkan 59 kes dan bantuan yang dibelanjakan membantu mangsa kebakaran berjumlah RM635,005 manakala terdapat lapan kejadian tanah runtuh turut berlaku dalam tempoh yang sama yang melibatkan bantuan berjumlah RM83,944.

“Selain itu, sebanyak 21 kes banjir melibatkan bantuan berjumlah RM97,106 dan 175 kes kemarau melibatkan bantuan berjumlah RM955,195 direkodkan dari Januari sehingga April tahun ini,” katanya sambil memberitahu terdapat satu kes ribut yang melibatkan bantuan sebanyak RM500.

Fatimah berkata, bantuan dan sumbangan bencana ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga termasuk menyediakan barang keperluan harian segera seperti wang tunai, pakaian, makanan, peralatan tempat tidur termasuk bantuan perlindungan sementara seperti kanvas, bumbung, batu bata, menyewa kanopi dan sewa rumah.

“Ada juga bantuan untuk perniagaan kecil yang terjejas akibat kejadian bencana. “Bagi kes kemarau pula, air bersih disalurkan ke kawasan yang terjejas, ”katanya. Beliau menambah bahawa skim ini adalah untuk melindungi mangsa bencana terutamanya golongan B40 yang memperoleh purata pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan.

Selepas sidang media berkenaan, Fatimah turut menyampaikan bantuan berjumlah RM21,050 kepada mangsa kebakaran iaitu Haidir Wal dan keluarga. Bantuan itu termasuk bantuan tunai berjumlah RM2,900, makanan RM1,450, pakaian harian RM5,800, pakaian seragam sekolah RM2,000, alat tulis sekolah RM1,000, set tempat tidur RM2,200, peralatan dapur RM700 dan bahan binaan RM5,000.

Menurut kronologi kes kebakaran pada 10 April lalu, rumah dua tingkat milik ayah Haidir yang terletak di Kampung Semerah Padi, Jalan Bangau 2 musnah dijilat api. Kejadian malang tersebut telah menyebabkan 29 orang penghuni rumah yang terdiri daripada empat buah keluarga iaitu seorang warga emas, lapan lelaki, enam perempuan, lapan anak perempuan dan enam anak lelaki tinggal sehelai sepinggang.

“Keluarga itu kini tidak memiliki tempat tinggal dan ditempatkan di pusat penempatan sementara di Dewan Rekreasi Kampung Semerah Padi. “Keluarga Haidir merancang untuk menyewa sebuah rumah di Matang sementara adiknya Jamaluddin dan mertuanya Marzidi masih mencari rumah yang sesuai untuk disewa, ”kata Fatimah.

Disebabkan kesukaran untuk melakukan pergerakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pejabat Kebajikan Kuching juga telah memberikan bantuan makanan kepada keluarga berkenaan. Turut hadir Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.