PUSA: Nikmat beribadah dengan selesa, rakyat perlu mensyukuri segala kemudahan dan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan.
Adun Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, tiada yang lebih berharga daripada nikmat keamanan serta keharmonian yang dikecapi rakyat di negeri ini.
“Ada sesetengah tempat, negaranya kucar-kacir akibat peperangan, bencana sehingga semua urusan harian terganggu termasuk keselesaan dalam melakukan ibadah.
“Jadi, kita di negara ini khususnya di tanah Sarawak amat beruntung. Bukan sahaja bebas dari sebarang ancaman bahaya tetapi berpeluang melakukan ibadah dalam keadaan yang begitu selesa.
“Masjid dan surau hampir kesemuanya berpenyaman udara, bangunan konkrit yang cantik, masyarakatnya memahami dan bersatu padu… maka, inilah yang harus kita syukuri kerana kita ditadbir oleh kerajaan yang baik yang sekaligus dapat memastikan keamanan terus dijaga dan dipelihara,” katanya.

Beliau yang ditemani isteri Aisyah Rohani Nahar bercakap demikian pada siri iftar jelajah Ramadan ke Surau Kampung Tengah dekat sini, semalam.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak komited menyediakan pelbagai infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
“Misalnya Surau Kampung Tengah yang cantik tersergam ini hasil komitmen Kerajaan Sarawak melalui peruntukan RTP yang disalurkan.
“Walaupun pembinaannya secara berperingkat namun akhirnya dapat memanfaatkan penduduk di sini. Saya mengharapkan penduduk dapat bersama menghidupkan surau ini dengan bermacam pengisian yang berguna.
“Saya sebagai wakil rakyat Insha-Allah akan menyokong penuh khususnya dalam membangunkan agama dan menyatupadukan masyarakat kerana saya tahu, ia akan membina modal insan yang berjaya suatu hari kelak,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu memuji komitmen semua ahli jawatankuasa pengurusan surau yang berjaya mengimarahkan Ramadan kali ini dengan program-program keagamaan.
Razaili menyeru masyarakat amnya untuk bersama menghayati keindahan Ramadan.
“Segala amalan kita di bulan ini, marilah kita teruskan pada bulan-bulan lain selepas ini. Ramadan sebenarnya telah mendidik kita dalam banyak perkara terutamanya untuk beristiqamah.
“Maksudnya segala amalan baik kita di bulan mulia ini, diteruskan serta sentiasa dipertingkatkan,” jelasnya.
Razaili terdahulu mengagihkan 500 bungkusan bubur pedas kepada penduduk sekitar yang disediakan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Beting Maro.
Selain itu sumbangan duit raya kepada jemaah dan kanak-kanak yang hadir.
Hadir sama Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain, Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Pusa Iszarul Japar, Penghulu Kampung Pusa Mahdi Kidi, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Hajijah Lueng, Pengerusi JKP Surau Kampung Tengah Jamali Gulong serta ketua-ketua kampung dan pimpinan parti.




