Rakyat perlukan vaksin influenza percuma

PENULARAN influenza di Malaysia ketika ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan marhaen. Kebimbangan tersebut bertambah buruk apabila terdapat banyak maklumat yang tidak tepat berkaitan influenza di negara ini tersebar di media sosial.

Di samping itu, sesetengah warga maya yang tidak bertanggungjawab turut mengaitkan influenza yang berlaku di Malaysia sebagai mirip virus misteri yang mencetuskan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di China.

Di sebalik kerisauan tersebut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa jangkitan influenza di Malaysia masih dalam keadaan terkawal. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau trend aktiviti influenza dan kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan di negara ini melalui sistem pelaporan sedia ada.

Beliau juga berharap agar semua pengguna media sosial tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan khalayak awam.

Sejak penularan jangkitan influenza di negara ini pada minggu lepas, terdapat beberapa buah sekolah di Pulau Pinang dan Selangor diarahkan tutup, apabila terdapat pelajarnya disahkan positif influenza A. Manakala pada awal minggu ini, sebuah sekolah di Perak iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan diarahkan tutup setelah 10 pelajar asramanya dijangkiti influenza A sejak Sabtu lepas.

Rentetan perkara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan media pada 8 Januari lalu mengingatkan pihak sekolah agar melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat. Pada masa yang sama, KPM juga meminta semua sekolah mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A.

Sebarang penutupan operasi persekolahan hanya akan dilakukan setelah mendapat nasihat daripada KKM. Jangkitan virus influenza bukan sesuatu yang baharu. Ia malah mudah tersebar melalui titisan saluran pernafasan yang dilepaskan pesakit melalui batuk atau bersin.

Virus yang dahulunya dikaitkan dengan negara beriklim sejuk, kini menular di negara tropika seperti Malaysia. Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira satu bilion kes influenza berlaku setiap tahun dan daripada jumlah tersebut, antara tiga hingga lima juta dalam kategori serius hingga mengakibatkan 650,000 kematian di seluruh dunia.

Berpandukan laporan Influenza Update N°358 yang dikeluarkan oleh WHO pada 6 Januari lalu, terdapat peningkatan aktiviti influenza di Malaysia dengan Influenza A (H1N1) pdm09 paling kerap dikesan. Memandangkan kes jangkitan influenza semakin meningkat di negara ini, KKM telah menyenaraikan beberapa gejala awal yang dikaitkan dengan influenza.

Antaranya demam, batuk, selesema, sakit tekak, sakit kepala, lesu dan sakit badan. Mereka yang mempunyai simptom seperti di atas diminta mendapatkan rawatan segera di hospital dan klinik yang berhampiran.

Pada masa ini, penularan virus influenza hanya dilaporkan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Di Sarawak, sehingga kini belum ada jangkitan influenza A dilaporkan di negeri ini. Namun, ibu bapa mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan suntikan vaksin influenza bagi anak-anak mereka.

Dikhabarkan juga bekalan vaksin influenza di negeri ini mula berkurangan dan hanya terdapat di beberapa pusat perubatan dan klinik swasta seperti yang ditularkan warga maya.

Rata-rata warga maya turut mencadangkan agar kerajaan melalui KKM menyediakan suntikan vaksin influenza secara percuma kepada pelajar dan golongan berisiko.

Hal ini demikian kerana kos suntikan vaksin influenza yang dianggarkan sekitar RM80 hingga RM120 satu, agak mahal dan membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, pemberian suntikan vaksin secara percuma merupakan satu tindakan yang wajar bagi membendung penularan jangkitan influenza di negara ini. Selain itu, kebimbangan orang ramai terhadap penularan influenza di negara ini sememangnya berasas dan wajar.

Sebab, virus influenza bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh, kerana virus ini berupaya menimbulkan pelbagai komplikasi kepada pesakit serta berpotensi menyebabkan kematian.

Selain suntikan vaksin, penularan influenza dapat dikurangkan dengan menjaga kebersihan diri seperti menutup mulut dan hidung ketika berada di kawasan berisiko dijangkiti influenza. Walaupun kita tidak dapat mengelak sepenuhnya daripada dijangkiti virus influenza, namun tanggungjawab mengekang penularan virus ini wajar dilakukan oleh semua pihak.

Bagi mereka yang telah dijangkiti, usah berada di kawasan awam seperti sekolah, taska, dan pasar raya yang memungkinkan penyebaran virus influenza kepada individu sihat. Paling utama, jaga kebersihan diri serta dapatkan perkembangan terkini penularan influenza di negara ini daripada KKM dan bukannya media sosial. Masyarakat bermaklumat, rakyat sihat!

• Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.

Suara Sarawak