Rakyat Sarawak divaksin dibenarkan ke luar negara

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal memperkenal pasport khas untuk mereka yang divaksin, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, pasport khas bertujuan memudahkan perjalanan penerbangan dengan hanya membenarkan mereka yang divaksin untuk keluar masuk negara.

“Buat masa sekarang kita masih belum laksanakan kerana proses vaksinasi di negeri masih di peringkat awal. “Tetapi saya sangat mengalualukan cadangan ini supaya industri pelancongan kembali bernafas,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada majlis pelancaran program Imunisasi Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan, Kuching pada Sabtu.

Jelasnya, mereka yang divaksin akan diberikan pasport khas yang membuktikan mereka sudah menerima vaksin. “Hanya mereka yang mempunyai pasport dibenarkan melalui pintu sempadan negara untuk urusan masing-masing.

Begitu juga sebaliknya, mereka perlu ada bukti vaksinasi sebelum masuk ke negeri ini,” katanya. “Sekiranya ada persetujuan bersama, mereka yang sudah divaksin di negara lain akan dibenarkan masuk ke negeri ini bagi memastikan mereka selamat.

“Bagaimanapun, perkara ini memerlukan persetujuan dua hala, bukan hanya keputusan negeri ini tetapi memerlukan persetujuan negara luar,”ujarnya.

Abdul Karim yakin pas khas ini bakal menghidupkan semula proses perjalanan atau rentas sempadan.

Justeru Abdul Karim berkata, kementeriannya akan membuat cadangan kepada Kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk membenarkan pelancong asing ke negara ini dengan syarat mereka sudah divaksin. “Cadangan ini perlu persetujuan Kerajaan Sarawak terlebih dahulu,”katanya lagi.

Suara Sarawak