ARTIKEL

SEDIA MEMBANTU... Tun Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi semasa menerima kunjungan hormat daripada Fenny Nuli di Astana Negeri di sini hari ini. Tun Wan Junaidi telah menyuarakan kesediaannya untuk membantu dalam isu penipuan pekerjaan sekiranya diperlukan.

Rakyat Sarawak paling ramai jadi mangsa penipuan pekerjaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sindiket penipuan pekerjaan dalam kalangan rakyat Sarawak amat membimbangkan kerana berada di tangga teratas dalam carta statistik di Malaysia.

Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli, berkata sekitar 1,000 orang rakyat Malaysia perlu diselamatkan kerana masih terkandas di Myanmar.

“Pada 6 November lalu, saya telah terlibat sama membantu menyelamatkan 16 orang mangsa dari Sarawak yang telah berjaya kembali ke sini.

“Mereka merupakan kumpulan terakhir yang tiba daripada 43 orang rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Lima, Peru, semasa saya menjadi duta besar di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, di Astana Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan tawaran kerja sebaliknya menyiasat latar belakang sesebuah negara yang menyediakan tawaran tersebut.

“Bekerja di luar negeri ini tidaklah semanis seperti yang orang jangka, budaya kerja luar pesisir atau offshore merupakan salah satu faktor yang menarik perhatian orang Sarawak untuk bekerja di luar negeri.

“Rakyat inginkan gaji besar tapi apabila dikira kos melibatkan tambang balik semula ke Malaysia seperti kadar gaji yang diiklankan di dalam Telegram sekitar USD1,000 tidak mencukupi.

“Rakyat Peru sendiri banyak yang tidak bekerja dan bekerja di negara lain, kenapa pula kita yang dari Sarawak perlu terima tawaran tersebut, dan logik sebegini perlu ditanam dalam minda anak muda kerana mangsa-mangsa ini dalam kalangan umur 19 hingga 20-an,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Sarawak mempunyai banyak potensi pekerjaan dan rakyat perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan memilih pekerjaan sesuai dengan kelayakan akademik.

Jelasnya, ini kerana kita tidak mahu isu ini melarat sehingga ada dalam kalangan rakyat yang akan dijadikan keldai dadah suatu masa nanti.

BERITA LAIN

Mangsa tanah runtuh terima bantuan

REPOK: Mangsa-mangsa tanah runtuh di Rumah Jupong dan Rumah Augustine di sini menerima bantuan dan sumbangan khas daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,

BERITA TERBARU