Rakyat Sarawak semakin matang

KUCHING: Kerajaan GPS komited mempertahankan Sarawak daripada terus dibuli oleh kerajaan baharu yang disifatkan sebagai tidak adil dan berat sebelah. Justeru, Adun Saribas Mohammad Razi Sitam menggesa rakyat di negeri ini untuk menolak sekeras-kerasnya Kerajaan PH di negeri ini.

Menurutnya, Sarawak dari dahulu lagi tidak ketandusan pemimpin serta mempunyai keupayaan tinggi serta diyakini dalam mentadbir urus Bumi Kenyalang.

“Sarawak tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi ia tidak bercanggah dengan matlamat pembentukan Malaysia seperti dipersetujui dalam MA63. “Berbanding sebelum ini apabila parti komponen dari Sarawak berada di bawah payung BN, situasinya berbeza. Ini kerana Umno tidak memerintah Sarawak.

“Tetapi kalau PH, seandainya menang, mereka akan memerintah dan menguasai apa-apa jua yang ada di negeri ini. “Kita tidak mahu semua ini berlaku. Tolak PH demi hak dan keistimewaan Sarawak. Kita tidak mahu menggadai apa-apa yang dipelihara selama ini ke tangan orang luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyambut delegasi GPS akar umbi dari Saribas yang berkampung di BCCK untuk konvensyen sulung GPS. Jelasnya, GPS sebagai tulang belakang Kerajaan Sarawak lebih diperlukan kerana ia berasaskan parti Sarawak yang lebih memahami keunikan negeri ini zaman berzaman.

“Saya yakin GPS cukup berpengalaman mengurus Sarawak walaupun berhadapan perubahan senario politik dan teknologi massa.

“Rakyat Sarawak juga semakin matang untuk menilai. Yakinlah, hak dan keistimewaan dalam MA63 yang masih diperjuangkan bertujuan mempertahankan pengurusan tanah dan sumber hutan termasuk minyak dan gas serta kekayaan yang lain,” ujarnya.

Razi menambah, konvensyen GPS kali ini menjadi platform mengukuhkan hubungan antara parti komponen Kerajaan Sarawak di pelbagai peringkat. “Semoga rakyat Sarawak terus bersatu demi memastikan bumi bertuah ini terus maju selari dengan perubahan angin semasa di alam yang serba canggih ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai rancangan tersusun ke arah menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Buktinya, Belanjawan Sarawak 2020 yang dibentangkan jelas berpusat kepada kehendak rakyat dengan konsep people-centric yang diyakini mampu membantu meringankan beban rakyat. “Ini menunjukkan Kerajaan GPS sangat memahami keperluan akar umbi sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.