Rakyat Sungai Lengan tidak diabaikan

DARO: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan Sungai Lengan dalam tempoh lima tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, sumbangan berterusan itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

Sebahagian besar peruntukan itu katanya, digunakan untuk melaksanakan projek infrastruktur awam termasuk jalan, jeti, dewan dan lain-lain lagi.

“Ini juga menunjukkan rakyat di Sungai Lengan tidak pernah diabaikan. Mereka bukan sahaja terbela malah setiap permasalahan penduduk di sini sentiasa mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pendampingan komuniti sosial daerah Sibu dan projek naik taraf jalan Rumah Bayang Dollah, Sungai Lengan semalam.

Sehubungan itu, Safiee mengingatkan penduduk agar jangan terpengaruh dengan hasutan luar dan janji palsu pihak pembangkang sebaliknya terus bersatu bagi menjaga hak Sarawak yang telah sedia ada.

MERIAH … Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan ADUN Daro, Safiee Ahmad mengabadikan kenangan bersama penganjur dan penduduk dalam Program Pendampingan Komuniti sosial daerah Sibu dan projek naik taraf jalan Rumah Bayang Dollah, Sungai Lengan semalam

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) katanya, akan melakukan yang terbaik dan mengambil langkah mendekati rakyat secara menyeluruh.

“Selaras dengan penganjuran program ini, saya juga mengharapkan kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan masyarakat setempat agar berganding bahu membanteras gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah.

“Ibubapa juga perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap pendidikan anak agar mereka tidak tercicir dan ketinggalan dalam arus pembangunan,”tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi memberi jaminan tidak mengabaikan pembangunan rumah panjang dan kampung di Parlimen Igan.

Ahmad Johnie menyampaikan sijil penghargaan kepada salah sebuah agensi yang menjayakan program.

Menurutnya, usaha membangunkan kawasan itu tetap menjadi keutamaan malah salah satu agenda penting yang sering diketengahkan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau meminta penduduk di kawasan Parlimen itu bersabar di samping terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan.

“Saya dan ADUN Daro sentiasa berganding bahu dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terutama berkaitan peruntukan daripada kerajaan Sarawak untuk disalurkan ke Parlimen Igan dan Daro,” katanya.

Pada masa yang sama, Safiee turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Pemadam Daerah Sibu dan 13 unit alat pemadam api untuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rumah Bayang Sungai Lengan.

Program dianjurkan oleh Pejabat Daerah Sibu dan disertai agensi kerajaan lain termasuk Agensi Anti-Dadah Kebangsaanuk (AADK) Sibu, Jabatan Kerja Raya Sibu, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hadir sama, pemimpin masyarakat setempat.