Ramah Tamah Gawai Raya IPD Saratok meriah

SARATOK: Seramai 250 warga Polis memeriahkan majlis sambutan Ramah Tamah Gawai Raya yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Saratok di sini, semalam.

Majlis bertambah seri dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superitendan Polis (DSP) Mordani Tanin dan isteri, Dayang Sauzanah Saudi.

Hadir sama, Khairul Azizi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Kelaka Datuk Abdul Wahab Aziz dan lebih 100 orang penduduk sekitar daerah ini.

Program dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik antaranya, pertandingan gerai tercantik yang dimenangi Gerai JSJ, Gerai StaRT dan Gerai JPJKK, cabutan tiket bertuah selain persembahan hiburan.

Mordani dalam ucapannya berkata, program tahunan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan anggota keluarga PDRM Saratok di samping hubungan baik dengan masyarakat setempat.

Mordani (kiri) bersama tetamu jemputan hadir memeriahkan program.

Malah katanya, jalinan kerjasama erat antara polis dan masyarakat berjaya membantu usaha mengawal kadar jenayah di daerah ini.

“Komitmen berterusan Polis itu mendapat respon positif daripada orang ramai yang sentiasa berganding bahu dalam memerangi aktiviti jenayah.

Kerjasama pintar ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana yang selamat dan memberi keyakinan kepada masyarakat terutama dalam aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, polis akan terus memperkukuhkan peranan menjaga ketenteraman awam menerusi pelbagai program kemasyarakatan.

Menurutnya, masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu pihak polis menyelesaikan isu-isu yang boleh mengancam keselamatan awam.

Acara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan.

“Perlaksanaan program komuniti polis mampu mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua belah pihak. Justeru, kita meneruskan program positif ini dalam usaha memberi kesedaran masyarakat supaya terus memainkan peranan dan berganding bahu bersama kita membendung jenayah.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang membantu kejayaan penganjuran program ini,” tambahnya.

Mengadakan lawatan ke tapak gerai yang dipertandingkan dalam program berkenaan.

Suara Sarawak