Ramah-tamah Gawai Raya semai ukhuwah usahawan

KUCHING: Ramah-tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB) berjaya menyatukan usahawan kalangan ahli koperasi.

Setiausaha Agung KUBSB Alfian Yusop berkata, dengan adanya majlis tersebut ukhuwah kalangan usahawan dapat ditingkatkan sekali gus menjadikan KUBSB bertambah kuat.

“Ahli dalam KUBSB bukan sahaja disarankan bekerja keras untuk meningkat perniagaan masing-masing malah bekerjasama untuk menguatkan organisasi dalam KUBSB,” katanya dalam kenyataan sempena penganjuran
Ramah-Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad Sarawak (KUBSB) malam semalam.

Pada majlis tersebut KUBSB menyampaikan sumbangan wang khairat kematian dan pelajaran (anak ahli cemerlang dalam peperiksaan) untuk ahli.

Alfian berkata, penganjuran Bazar Aidilfitri Satok yang menerima lebih 100,000 antara kejayaan KUBSB tahun ini.

Katanya, berdasarkan kaji selidik Bazar Aidilfitri Satok antara bazar terbesar di Malaysia menyaingi bazar ternama di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pihaknya berharap Kerajaan Sarawak terus memberi peluang kepada KUBSB untuk menganjurkan Bazar Aidilfitri Satok pada masa akan datang.

“Penganjuran Bazar Aidilfitri Satok sejak tahun 2007 diadakan. Ia disertai usahawan kaki lima terutama usahawan bumiputera.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak menerusi DBKU dan semua terlibat termasuk ahli.

“Kami yakin penganjuran tahun depan lebih berprestij dan jumlah pengunjung mencecah lebih 100,000 orang,” katanya.

Seramai 75 peniaga berniaga di Bazar Aidilfitri Satok yang berlangsung selama 18 hari baru-baru ini.

 

 

Suara Sarawak