Ramai teruja sambut tinjauan mesra Perdana Menteri

JOHOR BAHRU: Wajah orang ramai di sekitar B5 Johor Street Market di sini dilihat jelas cukup ceria dan amat teruja menyambut kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melapangkan masa untuk sesi tinjauan mesra di kawasan berkenaan, petang ini.

Perdana Menteri tiba di pusat perniagaan itu pada pukul 5.08 minit sejurus selepas selesai menghadiri perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, dilihat turut teruja dan sempat “berlakon” menjadi peniaga dengan menuang kuah mee rebus ke dalam mangkuk di salah sebuah gerai Mee Rebus Selera Stulang Laut, milik seorang ibu tunggal.

Pemilik gerai itu, Rohana Jamiah, 49, yang berpeluang berbual dengan bekas Menteri Besar Johor itu, menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara, yang menurutnya amat berjiwa rakyat.

Beliau juga menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang sangat mesra serta prihatin, dan seharusnya rakyat Malaysia berbangga mempunyai pemimpin yang sangat mengambil berat terhadap kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, dia (Muhyiddin) singgah kedai akak dan akak teruja sebab ini kali pertama berjumpa dan beliau sempat bertanya bagaimana perniagaan dan sambutan pelanggan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu seorang peniaga, pelukis, dan pemilik Al Fajr Art, Mohd Al-Fajri Rauf sempat menghadiahi Muhyiddin lukisan potret wajah pemimpin itu dan lukisan gambaran suasana B5.

“Rasa gembira dapat berjumpa dengan Perdana Menteri tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata, Saya gembira dapat mempersembahkan hasil lukisan saya kepadanya,” katanya.

Dalam sesi lawatan ke pusat komersial dan pelancongan setempat itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun kepada sembilan peniaga perusahaan kecil dan sederhana PKS sekitar Johor Bahru berjumlah RM82,000 bagi membantu peniaga memulihkan perniagaan dan menambah modal sedia ada.

Perdana Menteri juga sempat menyaksikan persembahan tarian tradisional, dan melihat demonstrasi membuat kraftangan.

Lawatan turut disertai isteri Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

B5 Johor Street Market yang berkeluasan 5.9 ekar itu mula beroperasi Februari lepas, menampilkan 219 ruang perniagaan untuk usahawan memasarkan pelbagai produk termasuk kraftangan, makanan serta pakaian.

— BERNAMA

Suara Sarawak