Rampasan kayu belian dan batak dalam Op Khazanah

BINTULU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bintulu merampas 30 batang kayu belian dan 56 batang kayu batak bernilai RM23,000 dalam Ops Khazanah di tepi Jalan Batu 28, Jalan Lama, Bintulu – Miri, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Bintulu ASP Ezuandi Bahadin berkata rampasan mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak itu dilakukan oleh lima anggota Unit Risikan Marin PPM Bintulu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati, kesemua kayu tersebut tidak memiliki cop Jabatan Hutan Sarawak.

Menurutnya, ketika ditahan, pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia 58 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dikeluarkan Jabatan Hutan Sarawak(JHS) Bahagian Bintulu, seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut.

Pemandu lori dan barangan rampasan kemudian diserahkan kepada JHS Bahagian Bintulu untuk tindak lanjut, katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kayu belian  dan batak yang dirampas  selepas pemandu lori yang membawa kayu berkenaan gagal membawa dokumen berkaitan.