Rancak industri sumber asli

BINTULU: Projek loji metanol yang pertama di Bintulu akan membantu pengeluaran produk hiliran berasaskan minyak dan gas sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg optimis pembinaan loji metanol bakal memberikan impak besar terhadap ekonomi negeri ini apabila ia turut menarik pelabur dan peluang pekerjaan kepada vendor serta profesional tempatan.

“Saya yakin pembangunan industri petrokimia itu akan menjadi pemacu ekonomi utama khususnya menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor hiliran minyak selaras hasrat untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Johari berkata, tinggal satu dekad lagi untuk mencapai status selepas Selangor dan Kuala Lumpur. Ekonomi kita ketiga terbesar dan pada 2018, KDNK ialah RM129.7 bilion, ” katanya pada majlis pecah tanah projek Sarawak Petchem Methanol di KM3 Jalan Similajau, di sini.