ARTIKEL

Rangka manusia ditemui dalam semak kebun durian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BATU PAHAT: Rangka manusia yang ditemukan dalam semak di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, dekat sini, adalah milik remaja yang dilaporkan hilang sebelum ini, berdasarkan pengecaman keluarga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pengecaman berkenaan melalui dokumen dan juga beberapa barangan milik mangsa, Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, yang dilaporkan hilang pada 26 Mei.

Beliau berkata mangsa merupakan pelajar tingkatan lima yang beralamat di Bandar Putera Indah dan dilaporkan hilang setelah keluar rumah dengan menunggang motosikal.

“Penemuan rangka di tepi Jalan Yong Peng-Muar itu kira-kira pukul 11.15 pagi hari ini, oleh orang awam, selain terdapatnya sebuah motosikal yang mengalami kerosakan di lokasi dan dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Motosikal yang ditunggang mangsa disyaki terbabas ke tepi jalan dan terlanggar sebatang tiang elektrik, menyebabkan mangsa terhumban ke kawasan semak yang agak curam di dalam kebun durian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Shahrulanuar berkata walaupun pengecaman telah dilakukan keluarga, pengesahan rasmi identiti rangka yang dijumpai akan disahkan setelah laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) diperolehi.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain secara selari juga dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

Terdahulu, bapa mangsa Abd Halid Sugiman, 44, menyatakan nombor pendaftaran motosikal yang ditemukan tersangkut di celah pokok, sama dengan motosikal yang digunakan oleh anaknya.

“Sebelum ini, setelah tidak pulang selepas keluar rumah pada 25 Mei, kami sekeluarga berusaha mencarinya di beberapa jalan yang mungkin dilalui termasuk Jalan Tongkang Pechah, Parit Raja, Sri Bengkal namun tiada petunjuk,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, remaja berkenaan pergi ke rumah rakannya di Kampung Parit Ju, Tongkang Pechah untuk menonton bola sepak sebelum dilaporkan hilang.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU