Ranting PBB Tanjung Manis lakar sejarah

TANJUNG MANIS:  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.41 Kuala Rajang menubuhkan satu lagi cawangan baharu di Tanjung Manis sekaligus membuktikan kedudukannya terus kukuh dan mendapat sokongan padu rakyat.

Ketua Ranting PBB Tanjung Manis, Ibnee Ekni berkata, cawangan baharu itu diperkukuhkan oleh seramai 11 orang ahli jawatankuasa yang masing-masing mewakili kaum bapa, wanita dan pemuda.

Menurutnya, penubuhan ranting itu berperanan sebagai wadah baharu politik untuk warga Tanjung Manis selain memastikan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Kewujudan ranting ini merupakan satu sejarah untuk penduduk Tanjung Manis malah, melaluinya mereka boleh menyalurkan pandangan yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Ibnee berkata, ranting berkenaan mencatat sejarah tersendiri apabila menerima penyertaan lebih 100 orang ahli baharu pada hari pertama pelancaran jawatankuasa protem semalam.

Len Talif menyempurnakan majlis pelancaran ranting baharu PBB Tanjung Manis.

Katanya, mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang datang dari Tanjung Manis, Jerijeh, Rajang dan Belawai.

“Kita juga ada menerima permohonan daripada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah. Namun kami perlu mempertimbangkannya terlebih dahulu.

“Sehubungan itu, kita mempelawa sesiapa turut serta, menyumbang idea atau ingin menjadi ahli PBB Ranting Tanjung Manis boleh menghubungi setiausaha wanita dan pemuda,” katanya.

Beliau menambah, jentera parti memahami keperluan untuk menghadapi pilihan raya negeri dan akan terus mempraktikkan pendekatan mesra dengan mendampingi pengundi hingga ke peringkat akar umbi.

“Sudah pasti, kita akan berjuang berhabis -habisan bagi memastikan Kuala Rajang kekal kubu kuat GPS. Ini kerana kita sedar, siapa yang paling banyak berjasa membangun dan membela nasib rakyat Tanjung Manis,” katanya.

Majlis pelancaran parti disempurnakan ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh yang juga Ketua Cawangan PBB N.41 Kuala Rajang semalam.

Beliau dalam ucapannya mengingatkan jawatankuasa dan ahli parti agar terus bersatu dan bergerak dalam satu pasukan.

Pada masa sama katanya, mereka juga perlu menjaga imej baik parti supaya GPS terus dekat di hati rakyat.

“Persediaan jentera kita sememangnya sudah cukup baik dan saya yakin kerjasama serta komitmen padu semua ahli jawatankuasa berupaya membantu GPS meraih kemenangan cemerlang di Kuala Rajang,” tambahnya.

Bakal menjadi wadah politik baharu bagi penduduk Tanjung Manis.

 

Ahli mengabadikan kenangan beramai -ramai.

Suara Sarawak