KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menyambut baik kebenaran untuk merapatkan saf solat jemaah di masjid dan surau bermula April ini.
Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha (gambar) berkata, ia merupakan satu petanda baik dan hadiah untuk orang Islam memandangkan umat Islam dijangka akan menyambut kedatangan bulan Ramadan pada 2 April ini.
Justeru, perbincangan lanjut akan dilakukan oleh pihak MIS untuk mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) majlis di Sarawak dalam masa terdekat. “Saya berangapan ini satu berita yang baik dan saya berdoa semoga ia dapat memberi rahmat kepada kita dalam mengimarahkan masjid. “Kita akan buat keputusan berkaitan SOP masjid dalam masa terdekat setelah perbincangan dilakukan,” katanya.
Jelas Misnu, MIS hanya boleh mencadangkan SOP yang bersesuaian di masjid mengikut situasi semasa. Namun untuk menguna pakai SOP tersebut, ia masih bergantung dengan kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). “MIS sekadar mencadangkan kepada JPBNS dan merekalah yang berkuasa untuk meluluskan.
“Ia merupakan satu ketetapan yang dibuat oleh JPBNS,” ujarnya. Tambahnya lagi, tatacara sembahyang di masjid atau surau tetap dikekalkan walaupun berlaku perubahan SOP nanti.
Antaranya membuat imbasan MySejahtera dan membawa sejadah sendiri. Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumunkan aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Keputusan berkenaan diambil susulan keputusan Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini.