Rasional atasi masalah kampung

MIRI: Penduduk kampung perlu menggunakan pendekatan rasional dan tepat dalam menyelesaikan isu berkaitan kampung masing-masing.

Adun Marudi Datuk Dr Penguang Manggil berkata, beliau yakin penyelesaian akan dapat dicapai sekiranya rundingan dibuat melalui platform yang betul.

“Saya bersyukur isu peserta projek perjanjian usaha sama serta Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) telah menemui penyelesaian walaupun terdapat beberapa perkara yang masih dalam perbincangan.

“Dengan menggunakan platform yang betul, setiap penyelesaian pasti akan dapat dicapai,” katanya ketika berkunjung ke Rumah John Marikan Sungai Buti, Ulu Teru sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun rumah panjang tersebut di sini baru-baru ini.

Penguang turut menyaksikan penyampaian insentif PJP Pelita Ulu Teru Plantation Sdn Bhd kepada peserta usaha sama dan kepada Pulau Kongsi Sungai Buti berjumlah RM129,524. Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan membaik pulih rumah berjumlah RM28,000 kepada JKKK dan RM5,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Sementara itu, beliau memohon agar Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) untuk mempercepatkan proses menyiapkan gereja penduduk rumah panjang tersebut. Setiausaha Politik Ketua Menteri Alexander Asung dan Ketua Polis Daerah Marudi DSP Jo Hang antara yang turut hadir.

Suara Sarawak