Rasuah RM20 untuk curi motosikal

KUCHING: Seorang pemuda yang cuba memberi suapan RM20 kepada seorang pengawal keselamatan dengan tujuan untuk mencuri motosikal yang diletakkan di tempat parkir motosikal di Hospital Umum Sarawak (HUS) dijatuhi hukuman penjara dua tahun semalam.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengarahkan ZA menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh ditangkap pada 22 November lalu.

ZA mengaku cuba mencuri sebuah motosikal Modenas bernombor pendaftaran PER6429 dan didakwa mengikut Seksyen 379A dibaca dengan Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara minimum satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun. Memandangkan tertuduh mempunyai kesalahan lampau iaitu baharu selesai menjalani hukuman 18 bulan penjara, Majistret Nuruhuda mengenakan hukuman lebih berat terhadapnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu sekitar jam 4.20 pagi di tempat letak motosikal di HUS bersama-sama seorang lagi rakan yang masih bebas.

Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan pengawal keselamatan di HUS sedang berada di pos kawalan pada waktu kejadian.

Ketika itu dia terserempak dengan dua lelaki yang berkelakuan mencurigakan berada di kawasan parkir motosikal HUS. Seorang daripada suspek kemudiannya mendekati pengadu dan meminta sebatang rokok. Sementara seorang lagi suspek mendekati pengadu dan menawarkan wang RM20 kepadanya untuk memudahkan usahanya mencuba mencuri sebuah motosikal itu yang diparkir.

Mendengar niat tertuduh, pengadu menahannya sebelum meminta bantuan rakannya dan kemudian membuat laporan polis.

Polis menangkap semula suspek pada pagi berkenaan. Turut dirampas daripada suspek ialah sepasang gunting perak dan pemotong dawai. Suspek telah datang ke tempat letak motosikal berkenaan bersama-sama dua rakannya dengan tujuan untuk mencuri motosikal di tempat berkenaan manakala dua rakannya itu berjaya melarikan diri.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman yang lebih ringan dan menyesali melakukan kesalahan itu. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Merylene Lindan Andrew.