ARTIKEL

Ratapan dan harapan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEJAK tiga bulan yang lalu bumi Palestin sentiasa bergegar dengan letupan bom, namun malam kelmarin pasukan bola sepak negara bergolak itu menggegar Qatar, layak ke pusingan kedua Piala Asia 2023.

Ia merupakan detik bersejarah pasukan Palestin yang serba kekurangan… tetapi dengan “semangat juang dan jiwa perang” yang dibawa ke medan saingan menghadirkan kejayaan bermakna buat mereka, dan untuk rakyatnya yang sedang bertarung nyawa.

Lebih menarik 40,000 penonton di stadium memberikan sokongan padu kepada mereka tanda solidariti, ketika membenam Hong Kong 3-0 malam kelmarin. Setiap perlawanan mereka, sentiasa dihadiri ribuan penonton, sambil memegang mafla Palestin, tanda sokongan.

Namun kejayaan Palestin (ranking ke-99 dunia) ke pusingan kalah mati itu disulami dugaan berat. Sehingga kini, para pemain tidak tahu apa yang terjadi kepada ahli keluarga mereka di kampung.

Penyerang Palestin, Tamer Seyam berkata, para pemain yang hadir ke Qatar telah berkorban segala-galanya.

“Berkenaan kemenangan yang indah ini, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Semesta Alam, rahmat dan keampunan buat para syuhada Insya-Allah,” ujarnya.

“Insya-Allah, perang akan berakhir dengan baik. Insya-Allah, penderitaan yang dialami penduduk Gaza akan berakhir. Insya-Allah, (kemenangan) perang akan memihak kepada Palestin,” katanya.

“Sudah tentu ada perasaan bercampur-campur termasuk gembira (layak ke pusingan seterusnya).

Sudah tentu kita tidak rasa sedih atau tidak tahu tentang tekanan yang dimaksudkan.

Dugaan yang menimpa pemain amat teruk,” ujarnya lagi. Sebelum perlawanan PalestinHong Kong malam kelmarin, laungan “Bebaskan Palestin” jelas kedengaran.

Dalam perlawanan tersebut, dua jaringan disumbangkan oleh Oday Dabagh dan satu lagi oleh Zaid Qunbar.

Ia merupakan kemenangan pertama mereka sejak menyertai Piala Asia 2015, 2019 dan 2023.

Kejayaan bersejarah itu bukan sekadar mengejutkan Asia, tetapi dunia, bagaimana negara kecil yang sedang dalam fasa peperangan dan persiapan terhad serta infrastruktur sukan yang hampir tiada boleh layak ke pusingan kedua.

Memang benar kata-kata legenda dunia, Diego Maradona, bahawa “bola sepak adalah tentang semangat, keinginan dan keghairahan untuk menang… dengan menjadikan kekurangan sebagai motivasi tambahan untuk melakar kejayaan”.

Beliau merujuk kepada beberapa bintang ternama dunia yang lahir daripada bola sejak jalanan (street soccer) di Amerika Latin, terutama Brazil dan Argentina. Antaranya Pele, Ronaldo, Ronaldinho dan Maradona.

Pele misalnya, menjadikan buah mangga yang sudah masak di belakang rumahnya sebagai bola gara-gara tiada wang untuk membeli bola.

Ia ditimang dengan kepala, kaki dan tumit sehingga lunyai. Ia adalah sebahagian daripada latihan kemahiran kawalan dan fokus.

Pele akhirnya merangkul tiga trofi Piala Dunia dan lebih 1,000 jaringan di peringkat kelab dan negara.

Yang pasti, Palestin merupakan satu-satunya pasukan di dunia yang tidak pernah beraksi di gelanggang sendiri, atas faktor keselamatan.

Mereka turut berlatih di rantau orang. Namun ia langsung tidak mematahkan semangat pemain.

Malah sepanjang Piala Asia di Qatar, para pemain sentiasa teringatkan nasib keluarga di kampung halaman, entah selamat entah tidak.

Malah ada yang telah pun kehilangan keluarga ketika berangkat ke Doha.

Yang pasti, mereka meratapi apa yang berlaku di negara sendiri, namun tetap menaruh harapan untuk berjaya dalam sukan.

Palestin turut mempunyai liga sendiri, iaitu Liga West Bank yang disertai 12 buah kelab. Antaranya Shabab Al-Dhahiriya, Thaqafi Tulkarem, Al Khaleel dn Al Quds.

Kini 25,105 rakyat Palestin terbunuh, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 62,681 cedera dalam serangan Israel sejak 7 Oktober 2023.

Ia termasuk sekitar 1,000 belia dan atlet berbakat besar.

Kebanyakan kemudahan sukan mereka dimusnahkan Israel.

Manakala lebih 1,000 kanakkanak yang sepatutnya mewarisi skuad masa depan Palestin terpaksa dipotong kaki setelah mengalami kecederaan parah akibat serangan dalam tempoh 100 hari.

Kaki kiri kanak-kanak berusia 11 tahun yang bernama Noor hampir terputus, apabila rumahnya di Jabalia,

Gaza jadi sasaran serangan bom Oktober lalu.

Kini, kaki kanannya yang telah dipasang palang besi dan empat skru, kemungkinan perlu dipotong.

“Ia amat menyakitkan.

Saya khuatir bahawa mereka mungkin perlu memotong kaki saya yang satu lagi ini,” katanya.

“Dahulu saya dapat berlari dan bermain bola, saya sangat gembira dengan kehidupan saya, tetapi kini apabila saya kehilangan kaki, hidup saya merana dan saya sangat sedih.

Saya harap saya akan dapat menerima kaki palsu,” luah Noor sambil mengusap air mata.

Bagi Noor tiada lagi sinar harapan untuk berlari-lari apatah lagi untuk menyepak bola.

Yang pasti, kehadiran Palestin ke kancah Piala Asia kali ini memberikan seribu satu makna, betapa bola sepak itu sebagai landasan penting untuk penyatuan dunia sejagat.

Kehadiran mereka ke Qatar, telah menyatukan rakyat dari pelbagai negara Asia yang sentiasa berada di belakang mereka.

Pada masa yang sama, skuad Palestin membuktikan bahawa, segala kekurangan bukan penghalang untuk mengukir kejayaan.

Mereka ke Qatar dengan persiapan ala kadar yang tidak menentu, kerana tiada gelanggang latihan, terpaksa menumpang di rantau orang.

Malah mereka juga ke Qatar dengan mental terganggu, angkara peperangan.

Tetapi sebaik berada di padang bola, semangat mereka menyalanyala, dan akhirnya berjaya ke kelompok 16 terbaik Asia.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU