Ratusan merusuh di Jerman

BERLIN: Beratus-ratus orang merusuh di pusat bandar Stuttgart, Jerman awal pagi kelmarin, dengan membaling batu dan botol ke arah polis, merompak serta memecahkan cermin kedai.

Seorang jurucakap polis berkata, beberapa tangkapan sudah dilakukan namun tidak dapat mengesahkan jumlah orang yang ditahan. Beberapa anggota polis juga cedera, katanya.

Ketegangan memuncak selepas tengah malam apabila semakin ramai yang mula berhimpun berhampiran dataran terbesar bandar raya itu, di Schlossplatz. Pertembungan tercetus antara beberapa kumpulan kecil, dengan polis menganggarkan sekitar 500 orang terlibat.

Bangunan kedai di sepanjang Koenigstrasse berhampiran jalan pusat beli-belah utama, diserang dan dirompak.

Polis memanggil pasukan tambahan dan mengatakan mereka belum mengetahui punca sebenar keganasan itu tercetus.

Video yang disiarkan di Twitter menunjukkan orang ramai memecahkan cermin kedai, dengan barangan bertaburan di atas jalan. Sebuah kedai barang kemas turut dirompak dan kedai telefon bimbit dimusnahkan, menurut penyiar serantau SWR.

Minggu lalu, pertempuran berlaku di pusat bandar antara polis dengan sekumpulan anak muda tetapi pada skala lebih kecil. –AFP