Rawat ibu, cabul anak

SIBU: Seorang bomoh lelaki berusia 68 tahun ditahan polis selepas dipercayai melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan kejadian itu sebentar tadi menberitahu, kejadian berlaku pada 14 Mac lalu di sebuah hotel bajet di bandar ini ketika melakukan rawatan tradisional.

Katanya, terdahulu suspek merawat ibu mangsa berusia 33 tahun kerana lemah badan.

“Ibu mangsa ketika itu ditemani suaminya dan turut membawa dua anak perempuannya termasuk mangsa.

“Setelah selesai berubat, suspek kemudiam memberitahu ibu mangsa dirasuk roh jahat dan turut merasuk salah seorang anaknya (mangsa),” jelas beliau.

Ketika rawatan itu, suspek membawa mangsa ke dalam bilik air mandi dengan syarat tidak boleh dilihat ibu bapa kerana melanggar pantang larang.

“Mereka berada di dalam bilik mandi itu selama 15 minit dan suspek dipercayai menggunakan kesempatan untuk melakukan perbuatan tidak senonoh,”katanya.

Perbuatan suspek terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya yang kemudian memaklumkan kepada ibu mangsa mengenai perbuatan terkutuk suspek.

“Terkejut dengan cerita mangsa itu, ibu mangsa tampil membuat laporan polis pada 7 April lalu.

“Berdasarkan maklumat, suspek berjaya ditangkap di rumah kongsi di sini pada 8 April lalu pada jam 1.30 pagi,” ujar beliau sambil memberitahu mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut manakala suspek telah direman.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen
14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017).

Suara Sarawak