Rawatan dialisis: Kontak rapat diasingkan

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri (BSMM) mengambil keputusan mengasingkan kontak rapat pesakit Covid-19 untuk menjalani rawatan dialisis berasingan.

Pengerusinya Datuk Lee Kim Shin berkata, ekoran tiga pesakit buah pinggang dikesan positif Covid-19 semasa menjalani rawatan di situ, semua kontak rapat telah dikenal pasti.

“Semua kontak rapat pesakit Covid-19 itu juga telah dikenal pasti. Untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP), semua mereka akan menjalani rawatan dialisis secara berasingan mengikut giliran,” katanya dalam mesyuarat jawatankuasa Pusat Dialisis BSMM di sini pada Ahad.

Kim Shin berkata, terdapat tiga pesakit telah dikesan positif Covid-19 semasa menjalani rawatan di pusat itu. Dua daripada mereka mendapat jangkitan Covid-19 dari luar sementara seorang lagi masih disiasat oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Miri.

“Semua 15 jururawat dan sembilan pembantu dialisis telah menjalani ujian calitan dan sedang menunggu keputusan, bahkan mereka juga telah dikuarantin di rumah,” katanya.

Jawatankuasa Pusat Dialisis BSMM juga mengarahkan pengurusan operasi menyediakan pelitup separuh muka kepada pesakit yang datang menjalani dialisis di pusat itu.

“Kita ingin memberi peringatan kepada kakitangan agar sentiasa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa merawat pesakit. “Ahli keluarga dan penjaga semua pesakit dialisis juga perlu mematuhi prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan Malaysia ketika berada di luar pusat dialisis,” tambahnya.

Kim Shin turut mengingatkan orang ramai agar tidak keluar dari rumah dalam tempoh pandemik Covid-19 kecuali ada sebab tertentu untuk menjalani rawatan atau keperluan lain yang mendesak.

Sementara itu, pusat dialisis berkenaan mengendalikan 76 mesin hemodialisis serta merawat 344 pesakit dialisis. Turut hadir ialah Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong; Pegawai Perubatan Daerah Miri Dr P Raviwharmman Packierisamy serta beberapa doktor.

Suara Sarawak