KUCHING: Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Parlimen Lubok Antu Dr Johnical Rayong Ngipa mendakwa berlaku ketirisan dalam penjumlahan undi bagi kawasan berkenaan.
Justeru beliau melahirkan rasa tidak berpuas hati ke atas keputusan itu dan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan pengiraan semula jumlah undi tersebut.
Menurut Rayong, berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperolehinya, beliau mendahului jumlah undi berbanding calon lain iaitu calon GPS Roy Angau Gingkoi, Jugah Muyang daripada Perikatan Nasional (PN) dan Langga Lias dari Pakatan Harapan (PH).

“Sebaliknya ketika Pegawai SPR mengumumkan keputusan rasmi sekitar jam 10.30 malam, saya dimaklumkan bahawa saya tewas dengan hanya 100 majoriti.
“Justeru, saya memohon pihak SPR menilai semula dan menyemak kembali keputusan undian ini,” katanya dalam sidang media di Dun Sarawak, hari ini.
Menjelas lanjut katanya, semasa pegawai SPR mengumumkan keputusan itu, beliau telah meminta pegawai SPR mengira semula namun permohonannya itu telah ditolak.
Rayong yang juga Adun Engkilili berkata, permohonannya untuk pihak SPR mengira semula jumlah undi tersebut ditolak tanpa memberitahu sebab-sebab penolakan.
Dalam masa yang sama, Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh turut menggesa SPR menyemak semula jumlah undi bagi kerusi Parlimen Lubok Antu.
Katanya, beliau ingin melihat demokrasi dipraktikkan di negeri ini dan semua ahli diperlakukan secara adil.
Dalam PRU-15 baru-baru ini, calon GPS Roy Angau Gingkoi diumumkan sebagai pemenang bagi Parlimen Lubok Antu dengan 6,664 undi.
Beliau menewaskan Rayong yang meraih 6,544 undi, Jugah Muyang daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 5,360 undi dan Langga Rias Pakatan Harapan (PH) 746 undi.
Kemenangan Roy itu turut membolehkan GPS merampas semula kerusi yang disandang oleh Jugah itu selepas memenanginya menggunakan tiket PKR pada PRU-14.