Razi agih RM152,000 untuk sekolah

DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam menyediakan sejumlah RM152,000 peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk diagihkan kepada 22 penerima terdiri daripada 18 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Guru Besar (MGB) Zon Debak, Spaoh, Pusa dan Betong.

Katanya, beliau mengharapkan sektor pendidikan di Saribas akan terus berkembang dengan baik walaupun dihimpit isu sekolah daif yang membelenggu kebanyakan sekolah di sini.

“Untuk pembangunan fizikal, kerajaan lebih arif

“Tetapi untuk akademik, ini tanggungjawab kita bersama.

“Bukan sahaja untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi lebih daripada itu, hasrat saya, hasrat sekolah dan ibu bapa untuk melahirkan produk terbaik serta berkualiti,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Zon Debak anjuran MGB Zon Debak dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Saribas yang berlangsung di Dewan Datuk Bandar Hamid, semalam.

Jelasnya, sebagai mendokong usaha tersebut sejumlah RM152,000 peruntukan di bawah MRP ADUN diagihkan.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian program Pusat Khidmat untuk menggalakan prestasi sekolah-sekolah.

“Begitu juga beberapa insentif lain seperti pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan awam dan sekolah yang lulus penuh… tahun ini kita berhasrat untuk membantu zon-zon lain juga.

“Pelaksanaannya masih menggunakan kaedah sedia ada supaya pihak sekolah mampu mengatur strategi untuk program sekolah dan motivasi… walaulun jumlahnya kecil tetapi saya yakin, ia sangat bermanfaat,” ujarnya.

Razi dalam pada itu mencabar semua sekolah rendah dalam Zon Debak agar dapat memastikan ada murid yang mampu memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun seorang.

“Cita-cita ini belum lagi tercapai dan insha-Allah selepas ini boleh, biar kita di Zon Debak mampu menjadi penyumbang kecemerlangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong.

“Justeru, gemar untuk saya mengingatkan guru besar agar sekolah yang ditadbir diharap dapat mempertingkatkan prestasi.

“Kalau sudah bagus, maka kekalkan dan teruskan budaya kecemerlangan supaya keputusan saban tahun akan sentiasa ditambah baik,” jelasnya.

Hadir sama Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong Syahrum Jais, Pengerusi MGB Zon Debak Abang Abdul Rahim Abang Abu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas Merni Bujang, Guru Besar SK Datuk Bandar Debak Jelani Suhaili, serta ketua-ketua masyarakat dan kaum.

Suara Sarawak