Razid hilang ketika mencari siput

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika mencari siput di sungai Kampung Meranek, semalam.

Mangsa dilaporkan hilang selepas salah seorang daripada penduduk kampung tersebut hanya menemui perahu miliknya terdampar di sungai berkenaan, namun kelibat mangsa tidak kelihatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Razid Hamran berusia 27 tahun itu telah dilaporkan hilang di Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan pada jam 5.58 petang.

Susulan itu katanya, seramai tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan yang diketuai PKPgB Ebby Hirwandy Sarbini telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari mangsa kini sedang dilakukan oleh pasukan operasi bersama penduduk kampung.

“Setakat ini tiada sebarang maklumat pengesahan laporan penemuan mangsa diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.